
KUCHING:Kerajaan Sarawak dan pihak swasta perlu memperhebatkan lagi kerjasama bagi mempercepatkan usaha menyediakan liputan rangkaian internet yang lebih meluas serta menyeluruh
di negeri ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, ia khususnya bagi menyelesaikan isu berkaitan untuk menyediakan akses perkhidmatan 5G di seluruh negeri termasuk kawasan pedalaman.
“Oleh itu, agensi kerajaan dan swasta harus bekerjasama serta saling melengkapi untuk memaksimumkan produktiviti dan bukannya bekerja secara solo kerana isu liputan internet merupakan salah satu keperluan utama rakyat negeri ini.
“Ia sekali gus mempercepatkan penyediaan liputan rangkaian secara menyeluruh termasuk menyiapkan pembinaan infrastruktur dalam jangka masa yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) Berhad dengan rakan strategik, di Hotel Hilton, hari ini.
Tambahnya, liputan perkhidmatan internet yang menyeluruh penting untuk meningkat sosioekonomi rakyat khususnya di luar bandar dari segi pendidikan selain meningkatkan industri pelancongan.
Dalam hal berkaitan, Julaihi memberitah sebanyak 82 tapak telah dikenal pasti di Sarawak bagi pelaksanaan perkhidmatan telekomunikasi bertaraf 5G yang dijangka bermula tidak lama lagi.
“Pelaksanaan perkhidmatan itu akan dilakukan secara berperingkat dengan bandar raya Kuching dan Miri serta bandar Bintulu menjadi fasa pertama projek itu.
“Bandar Sibu pula dalam fasa kedua pelaksanaan. Digital Nasional Berhad (DNB) (anak syarikat kerajaan Persekutuan) masih dalam fasa menganalisis ketersediaan kerajaan negeri terutamanya dalam fasiliti infra telekomunikasi,”jelasnya.
Hadir sama Pengerusi SDEC Tan Sri Datuk Amar Morshidi Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SDEC Sudarnoto Osman, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan SEB James Ung, Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Syeed Mohd Hussien, Pengarah Urusan People Psyence Evelyn Chue dan Pengarah Urusan Ecotane Sdn Bhd Datuk Bolhassan Di.