ARTIKEL

Kehadiran Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah menyerikan lagi sambutan Pesta Lubuk Antu di Dataran Rusa.

Perkasa pelancongan tempatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ENGKILILI: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mencadangkan agar Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) dan Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) bekerjasama dalam mempromosi sektor pelancongan di kawasan masing-masing.

Menurutnya, langkah itu penting kerana kedua-dua kawasan itu mempunyai banyak tarikan untuk ditawarkan kepada pengunjung.

“Kita ada banyak tarikan. Selain kekayaan budaya dan tradisi Iban, kita juga memiliki kraf tangan, alam semula jadi dan rumah panjang tradisional.

“Bagi Engklilli, kawasan tasik Empangan Hidro Batang Ai berdekatan dan keunikan Batu Nabau (struktur batu menyerupai kepala ular gergasi) serta legendanya adalah antara tarikan utama.

“Untuk Betong pula, kita bakal mempunyai kubu Rentap di Bukit Sadok sebagai tumpuan baharu kepada pengunjung. Pembinaan projek bernilai RM15 juta itu dijangka ditender tidak lama lagi,” katanya.

Uggah berkata Pelabuhan STOL Bebuling Spsoh di Betong yang dijadualkan siap tahun depan juga akan menjadi rangsangan ketibaan pelancong.

“Jadi, kedua-dua BDDA dan SADA boleh duduk berbincang untuk bersama-sama membangunkan produk pelancongan yang cukup berpotensi sebagai aliran pendapatan baharu kepada komuniti setempat, ” ujarnya.

Menyentuh perkembangan Parlimen Engkilili, beliau berkata pengundi membuat pilihan tepat dengan mengundi Roy Angau Gingkoi, calon GPS dari Parti Rakyat Sarawak.

Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan berkata, kerajaan pusat dan negeri kini merancang atau sedang melaksanakan projek yang menelan belanja sebanyak RM921 juta.

Sebagai contoh katanya, tender pembinaan Jalan Ulu Skrang dan Lubok Antu Fasa 2 bernilai RM28.5 juta dibuka Ogos ini.

Soal permintaan Roy supaya Engkilili mempunyai kawasan pantai, Uggah berkata kedua-dua mereka menemui Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mendapatkan persetujuan.

Pada majlis itu beliau mengumumkan pemberian RM50,000 kepada jawatankuasa penganjur festival tahun ini.

Beliau menjanjikan satu lagi geran sebanyak RM50,000 untuk menganjurkan edisi tahun hadapan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU