
KUCHING: Pementasan teater muzikal di Sarawak perlu diperkasakan dengan lebih aktif dalam memastikan format seni persembahan itu mendapat tempat di hati peminat teater terutama di Bumi Kenyalang.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan berkata walaupun konsep tersebut masih baharu di Sarawak, ia perlu diadakan dengan lebih kerap melibatkan penggiat industri tempatan.

Katanya ia perlu mengambil kira situasi semasa di Semenanjung terutama di Kuala Lumpur, pementasan teater muzikal katanya telah lama dilaksanakan di Istana Budaya.
“Justeru saya berharap agar industri kreatif dan seni persembahan di Sarawak terus berkembang maju selari dengan peredaran zaman.
“Ia semenangnya bertujuan untuk memberi kefahaman tentang teater muzikal kerana kita tahu persembahan seperti itu masih lagi baharu di sini (Sarawak)
“Jadi ia (teater muzikal) perlu lebih dipromosikan dan diperkenalkan agar penceritaan dan penyampaian mesej di dalamnya dapat dihayati,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Pementasan Teater Mini Muzikal Arum Bulak di sebuah hotel terkenal di sini pada Rabu.
Mengakui ia bukan mudah untuk dilakukan, kata Snowdan, kementerian bertanggungjawab sedia membantu dari segi sokongan.
Hadir sama Pengarah Teater Mini Muzikal Arum Bulak, Tini Tyrani.
Sementara itu, Tini ketika bercakap kepada media berkata naskah Arum Bulak tersebut diangkat sebagai teater muzikal selepas lebih 10 tahun dipentaskan sebagai teater biasa.
“Naskah yang sudah dibuat pada 2013 dan dipentaskan sebagai teater biasa, jadi kali ini kita angkat ia sebagai teater muzikal kerana di Sarawak, dilihat masih ke belakang dalam teater muzikal.
“Teater muzikal lebih menarik sebenarnya, sebab itu juga kita mahu mengangkat teater muzikal di Sarawak, sebab kita kalau di Kuala Lumpur, pentas teater muzikal sudah menjadi kebiasaan,” katanya.
Teater Mini Muzikal Arum Bulak menampilkan bakat dan pelakon tempatan anak jati Sarawak yang terdiri daripada Azam Pit, Elya, Lan Perey, Shahrul Iskandar, Saiful Bahri dan Wayne.
Ia akan dipentaskan pada 13 dan 14 Januari ini di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak selain dipentaskan di Panggung Eksperimental Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) UNIMAS malam ini.