Perkasa perkhidmatan pelancongan

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyeru pihak swasta memperkasakan perkhidmatan yang ditawarkan dalam industri pelancongan.

Katanya, dalam industri tersebut Sarawak tidak boleh bergantung kepada usaha kerajaan semata-mata.

“Amat penting untuk menarik perhatian para pelancong ke negeri ini.

“Pihak swasta perlu bersikap proaktif dalam menyediakan perkhidmatan mereka agar lebih menarik dan memenuhi kehendak pelancong,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pelancongan Kenyalang Sarawak Ke-8 2017/2018 di BCCK, malam tadi.

Tambahnya, dalam memberi perkhidmatan yang baik, Kerajaan Sarawak telah menyediakan ke-mudahan dari segi infrastruktur.

“Misalnya di Taman Negara Mulu, ruang udara di kawasan tersebut sibuk selepas jam 2.30 petang kerana kelawar akan berterbangan di antara gua.

“Justeru, pesawat hanya boleh mendarat pada jam 11.00 pagi tetapi tidak dapat mendapat mendarat selepas jam 2.30 petang kerana kita tidak mahu mengganggu habitat liar itu,” jelas beliau.

Melihat kepada perkara tersebut Abang Johari berkata, kerajaan membina jalan raya dari bandar raya Miri hingga ke Long Terawan bagi memudahkan pelancong berkunjung ke taman berkenaan pada bila-bila masa.

Katanya, dari Long Terawan menaiki pengunjung boleh menaiki bot untuk ke Taman Negara Mulu dalam sekitar 40 minit.

“Ini bermakna, jika tiada pesawat mereka (pengunjung) boleh menggunakan jalan raya untuk ke Miri, sekali gus isu pengangkutan bukan lagi masalah.

“Jadual perjalanan juga akan lebih teratur, pengunjung boleh pergi ke Mulu dengan mudah serta dapat menikmati keindahan di sana,” jelasnya.

Abang Johari berkata, dengan adanya pelbagai kemudahan yang disediakan, beliau yakin industri pelancongan di negeri ini akan berkembang pesat.

Isteri Ketua Menteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan
merangkap Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew; Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan serta Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Hii Chang Kee turut hadir.