Perkasa potensi sektor pertanian

SARIKEI: Kerajaan Sarawak terus komited memperkasakan pembangunan infrastruktur asas bagi melonjak potensi ekonomi kawasan pesisir dalam pelbagai sektor khususnya pertanian.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kemudahan jalan raya merupakan salah satu aspek penting kerana membantu mempercepatkan pengeluaran pertanian dan perikanan.

“Kerajaan terus komited menaiktaraf prasarana termasuk kemudahan jalan raya yang menjadi rangkaian logistik untuk memasarkan hasil pertanian.

“Ini kerana kita sedar potensi cerah sektor tani berikutan permintaan tinggi luar negara terhadap produk tertentu dari negeri ini.

“Malah peluang itu bertambah cerah dengan adanya pejabat peniagaan kita di Singapura yang bakal melebarkan lagi jaringan pasaran ke peringkat antarabangsa,” katanya pada Majlis Makan Malam Bersama Komuniti Bahagian Sarikei di sini, semalam.

Beliau berkata, Kerajaan Singapura juga berkongsi teknologi untuk menginovasikan pertanian bagi mempelbagaikan penggunaannya.

“Kita sumber yang namun kita perlu membangunkan insfrastruktur asas sebagai kekuatan. Malah melalui usaha ini, kita menyediakan lebih banyak kemudahan dan peluang ekonomi baharu kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, antara langkah proaktif yang sedang dilaksanakan termasuklah meneruskan pembinaan jambatan sebagai pelengkap jalan persisir.

“Saya sekali lagi ingin menegaskan Sarawak tidak akan bangkrap. Kita mempunyai perancangan kewangan yang cukup rapi demi manfaat rakyat dalam tempoh jangka panjang,” katanya.

Hadir sama Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan UKAS, Abdullah Saidol, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, ADUN Pakan, Tan Sri William Mawan Ikon dan ADUN N.45 Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii.

Suara Sarawak