ARTIKEL

Datuk Sri Fatimah Abdullah merakam gambar kenangan bersama-sama penerima Geran Modal Pemerkasaan Wanita Sarawak di Persekutuan Persatuan Cina Sarawak, di sini, hari ini.

Perkasa wanita jana pendapatan, persediaan meniti hari tua

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Golongan wanita di Sarawak disarankan untuk membuat pelaburan dan perancangan awal sebagai persediaan menjadi warga emas yang lebih berdikari menjelang hari tua kelak.

Ia berdasarkan pelbagai kajian dan penemuan yang mendapati usia kaum wanita lebih panjang daripada lelaki. Malah kajian terkini mendapati wanita di Malaysia mampu hidup lebih lama daripada lelaki dengan jangka hayat masing-masing sekitar 75.6 tahun dan 70.8 tahun.

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Sri Fatimah Abdullah memberitahu, Kerajaan Sarawak menyediakan pelbagai program untuk membantu golongan hawa memperkasa kemahiran bagi menjana pendapatan tambahan.

“Oleh sebab itu, saya selaku menteri bertanggungjawab setiap tahun memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan untuk membolehkan golongan ini terlibat dalam perniagaan.

“Ini penting sebagai persediaan kerana kita mahu memastikan wanita mempunyai wang simpanan sendiri dan mampu berdikari dalam perbelanjaan khususnya dari sudut pembiayaan kesihatan di usia warga emas kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Geran Modal Pemerkasaan Wanita Sarawak di Persekutuan Persatuan Cina Sarawak, di sini, hari ini.

Sementara itu katanya melalui Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS), kementeriannya meneruskan program pembangunan usahawan yang merangkumi bantuan perniagaan seperti Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak (KIRWaS) dan Geran Modal Pemerkasaan Wanita.

“Bagi KIRWaS, pada tahun ini terdapat seramai 600 penerima baharu di seluruh negeri melibatkan peruntukan berjumlah RM300,000, manakala tahun lalu seramai 158 usahawan wanita di Bahagian Kuching menerima bantuan ini,” jelasnya.

Untuk modal pemerkasaan wanita pula ujarnya, ia JWKS diperuntukkan dengan geran berjumlah RM2.5 juta. Ia adalah bantuan berbentuk peralatan perniagaan bernilai RM2,000 sekali beri kepada golongan sasar B40, usahawan wanita Sarawak berumur 18 tahun ke atas.

Datuk Sri Fatimah Abdullah menyampaikan Geran Modal Pemerkasaan Wanita Sarawak kepada salah seorang penerima di Persekutuan Persatuan Cina Sarawak, di sini, hari ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU