Perkasakan akhlak anak-anak

PERKEMBANGAN teknologi menyaksikan kanak-kanak semakin terdedah kepada dunia luar, terutamanya alam maya tanpa sempadan.

Ini menyebabkan kanak-kanak semakin celik teknologi terutamanya dalam penggunaan telefon pintar. Setiap hari di mana sahaja kita dapat melihat mereka leka bermain telefon atau gajet tanpa pengawasan ibu bapa atau penjaga.

Situasi ini menyebabkan segelintir ibu bapa yang mungkin tidak menyedari bahawa anak-anak mereka terdedah atau menonton sesetengah animasi ataupun kartun yang mengandungi adegan pornografi ringan menerusi YouTube atau aplikasi video lain.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pornografi bermaksud bahan bertulis atau visual yang merangsang keinginan seksual dan bertujuan untuk memberahikan pemerhati atau pembaca yang juga dikenali sebagai “porn”, “smut” dan bahan-bahan lucah.

Bagaimana babak pornografi ringan ini?

Kebiasaannya dalam siri animasi kegemaran kanak-kanak, jika diteliti mungkin ada beberapa babak yang melibatkan ciuman.

Bagi anda ia mungkin sangat romantis tetapi sebenarnya tidak kerana ia mampu meninggalkan banyak kesan buat kanak-kanak yang sentiasa ingin tahu.

Pada Julai tahun lalu, negara kita pernah dikejutkan dengan kejadian seorang murid lelaki berumur 12 tahun merogol kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.

Siasatan pihak polis pula mendapati suspek melakukan perbuatan itu akibat terangsang menonton video dalam telefon bimbitnya.

Tidak kurang juga kita pernah dikejutkan dengan pelbagai berita menyedihkan mengenai sumbang mahram.

Jika dahulu televisyen menjadi sumber utama, diikuti lambakan cakera padat (CD) lucah, kini akses melalui talian Internet dan telefon pintar menjadi sumber sukar dikawal yang akhirnya menyebabkan keruntuhan akhlak.

Profesor Emeritus, Dr. Victor Cline, dalam bidang Psikologi di University Utah, Salt Lake City menyatakan penggunaan pornografi dilakukan secara berterusan dan jika dibiarkan akan membawa kepada ketagihan yang lebih teruk (bermula daripada pornografi ringan kepada pornografi serius).

Beliau juga menyatakan pornografi juga boleh membawa kepada tingkah laku seksual yang buruk dan tidak normal, hal ini berlaku kerana penonton pornografi akan cuba beraksi berdasarkan pada apa yang dilihat, berfantasi dan berakhir dengan keputusan atau hasil yang merosakkan atau menghancurkan seseorang.

Perkara ini berlaku kerana terdapat segelintir masyarakat sering kali menyalahgunakan aplikasi media sosial dengan memuat naik serta memaparkan unsur pornografi ringan sehingga mengundang kesan negatif kepada semua peringkat umur, sama ada orang dewasa, remaja mahupun kanak-kanak.

Isu ini sudah tentu sangat membimbangkan, malah lebih parah apabila ibu bapa sendiri tidak sedar bahawa anak-anak mereka yang masih kecil sudah terdedah dengan kandungan pornografi dalam sesetengah animasi atau kartun yang dibenarkan anak-anak menonton. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Mohd Yusoff menyatakan sejumlah 1,721 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak direkodkan dalam tempoh Januari hingga 30 Jun tahun ini.

Katanya kes rogol mencatat jumlah paling tinggi dengan 651 kes; cabul 344 kes; sumbang mahram 106 kes; luar tabii 106 kes; dan kesalahan di bawah Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) sebanyak 514 kes.

Justeru, ibu bapa perlu peka dengan perkara ini dengan mengawasi serta memeriksa ‘browsing history’ telefon pintar, tablet mahupun komputer riba anak-anak selain melakukan sekatan dalam pencarian video atau bahan bacaan mereka dari semasa ke semasa, jangan sesekali abaikan tanggungjawab.

Selain itu pihak berwajib perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi menghalang perkara tersebut daripada terus berlarutan.

Dari segi pendidikan pula perlu diterapkan di sekolah seperti mewujudkan subjek yang mampu meningkatkan akhlak dan moral pelajar.

Kempen kesedaran secara berterusan juga perlu diwujudkan bagi membendung kes jenayah seksual daripada terus berleluasa.