Perkasakan perkhidmatan pelanggan

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sedang berusaha mendigitalkan proses pengurusan dan memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan pelanggan dalam urusan pentadbiran seharian.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia merupakan usaha DBKU untuk menjadikan Kuching sebagai bandar raya pintar selari dengan perancangan Kerajaan Sarawak untuk merealisasikan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018- 2022.

Menurutnya, DBKU juga sedang giat melaksanakan pelan lima tahun Bersih, Cantik, Selamat, Pintar dan Mampan (CBSSS) yang memfokuskan kepada kepada tiga inisiatif utama merangkumi bandar pintar, penyampaian perkhidmatan dan penyelesaian inovatif digital.

“Bagi bandar pintar, ia akan melibatkan pengawasan, pencahayaan, persekitaran, taman hijau, penyelenggaraan bandar, mobiliti dan komuniti.

“Projek perintis untuk pencahayaan pintar ialah Projek Kampung Nombor dengan pemasangan sebanyak 450 unit lampu jalan LED pada tahun lepas,” katanya.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, DBKU juga menyediakan model kaunter setempat penyampaian maklumat yang melibatkan urusan perniagaan dalam aspek kewangan, bangunan, kejuruteraan, penilaian, pencukaian dan pelesenan.

Tambahnya, penyelesaian inovastif digital pula meliputi semua sistem yang diguna pakai bagi memudahkan proses kerja.

“Apabila semua perancangan untuk mewujudkan bandar raya pintar ini berjaya dilaksanakan sepenuhnya, saya yakin setiap warga kota dan masyarakat awam dapat merasai faedah atau kebaikan daripada program pembangunan ini.

“Setiap urusan dan perkhidmatan pelanggan akan lebih cekap dan lancar serta menjimatkan masa,” ujarnya.

Suara Sarawak