Perkenalkan budaya Sarawak kepada pelajar Jepun

PADA 10 Februari lalu, seramai 31 pelajar Universiti Utsunomiya (UU), Jepun, menyertai program EduTour 2020 selama dua minggu bermula dari 8 hingga 23 Februari.

Menurut Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FLC) Unimas, Profesor Dr Ambigapathy Pandian, ini kali ketiga program ini diadakan selepas kejayaan Program EduTour 2018 dan 2019.

Beliau berkata, melalui program ini, pelajar UU berpeluang menghadiri kelas bahasa Inggeris yang diajar oleh pengajar FLC bertujuan meningkatkan kemahiran komunikasi.

“Pelajaran ini direka untuk menyertakan topik yang relevan dan menarik dengan aktiviti membantu pelajar meningkatkan keyakinan dan kebolehan mereka menggunakan bahasa Inggeris di dalam atau luar kelas.

“Juga, kandungan kelas bahasa Inggeris dikaitkan dengan Matlamat Pembangunan Negara untuk keamanan dan kemakmuran,” kata Prof Dr. Ambigapathy. Selain itu, pelajar UU berinteraksi dengan pelajar program akademik penawaran fakulti yang sama dengan jurusan mereka.

Mereka juga mempunyai aktiviti di luar kelas seperti mengunjungi Kuching, Galeri Brookes, Kampung Budaya Sarawak dan banyak lagi.

Program EduTour dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Unimas (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr Ahmad Hata Rasit. Turut hadir, Profesor Unimas Datu Mohd Fadzil Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah Perniagaan Unimas, Profesor Madya Dr Puah Chin Hong, Timbalan Pengarah Unimas Global, Dr Florianna Lendai Michael, Profesor Madya Dr Izuha Takashi dan Profesor Madya Dr Yamano Yuki dari UU .

Suara Sarawak