Trending

PERKESO bantu bekas jurutera terima pencen ilat

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KLANG: Seorang bapa kepada tiga anak yang buntu mengenang nasib anak-anaknya kerana tidak lagi mampu bekerja akibat penyakit yang dihadapinya sejak tahun lepas, kini menarik nafas lega selepas menerima bantuan pencen ilat dan alatan pemulihan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Bekas jurutera K. Gunasegaran, 42, berkata hidupnya berubah 360 darjah selepas menghidap penyakit Ischemic Heart Disease dan Heart Failure with reduced ejection fraction pada 2022.

Beliau berkata bantuan pencen ilat sebanyak RM2,751 sebulan yang diterimanya Selasa, cukup bermakna buat dirinya dan keluarga bagi menampung perbelanjaan, memandangkan sebelum ini keluarga itu bergantung kepada pendapatan Gunasegaran sepenuhnya sebagai ketua keluarga.

“Selepas berhenti kerja saya dah jadi macam orang bodoh, susah-susah belajar (dahulu) tetapi kini tak dapat bekerja. Saya berharap sangat perubatan ini berjaya, walau pun tidak capai 100 peratus, sekurang-kurangnya boleh pulihkan saya untuk melakukan sesuatu, daripada duduk sahaja.

“Saya perlu berfikir secara cepat, mahu buat apa selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas penyampaian pencen ilat dan peralatan pemulihan kepada orang berinsurans PERKESO, di kediamannya di sini Selasa.

Bantuan tersebut disampaikan Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V. Ganabatirau dan Ketua Eksekutif PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Gunasegaran berkata sejak menghidap penyakit itu, beratnya turun sebanyak kira-kira 40 kilogram (kg) dari 98kg sebelum ini.

“Penyakit ini membuatkan jantung dan buah pinggang saya lemah, selain sesak nafas sehingga tidak mampu melakukan apa-apa. Saya juga mempunyai kesukaran untuk makan,” katanya yang mencarum dengan Perkeso sejak 1999.

Sementara itu, seorang lagi penerima faedah Perkeso P. Sokkayee, 54, menerima pencen ilat berjumlah RM550 dan peralatan pemulihan, seperti lampin dewasa, kerusi komod dan kerusi roda.

Perkeso dalam satu kenyataan memaklumkan, bekas pekerja kilang itu mengalami sakit pinggang dan kebas ketika berjalan atau melakukan aktiviti harian, sehingga menyebabkan pergerakannya terbatas.

“Pada 23 Mei lepas, doktor mengesahkan Sokkayee menghidap keilatan atas masalah degenerative kyphoscolisis yang membuatkannya tidak sesuai untuk bekerja.

“Sehubungan itu, wanita itu layak menerima bayaran bulanan pencen untuk sepanjang hayat dan PERKESO juga akan menyediakan kemudahan pemulihan jasmani dan dialisis untuk beliau,” menurut kenyataan itu.– BERNAMA

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

27 November 2023

Berita Terbaru