Perkeso bayar RM71,657.61 kepada mangsa CityOne

KUCHING: Sebanyak RM43,935.11 bagi faedah pekerja hilang upaya sementara dan RM27,722.50 untuk pekerja hilang upaya kekal telah dibayar kepada mangsa pekerja letupan gas berlaku di pusat beli- belah CityOne pada 4 Disember tahun lepas.

Pengarah Perkeso Negeri Phillip Sangkan berkata, faedah hilang upaya sementara telah dibayar kepada kesemua mangsa berdasarkan bilangan hari mereka diperakukan cuti sakit oleh pegawai perubatan.

“Bagi mangsa meninggal dunia, pembayaran faedah orang tanggungan telah diselesaikan dan waris telah menerima bayaran secara bulanan.

“Sehingga 20 Jun ini, dua mangsa yang masih diperakukan cuti sakit oleh pegawai perubatan masih dibayar faedah hilang upaya sementara oleh Perkeso,” katanya pada satu sidang media di pejabatnya di Wisma Perkeso.

Tambahnya, setelah menerima berita letupan di CityOne, Skuad Perkeso Prihatin telah bertindak membuat lawatan ke Hospital Umum Sarawak dan ke premis majikan bagi mendapatkan maklumat mangsa yang terlibat.

“Hasil lawatan itu, Skuad Perkeso Prihatin telah berjaya memperolehi maklumat semua mangsa letupan iaitu 24 tercedera dan dua meninggal dunia,” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut menggesa agar mangsa yang mengalami kecacatan kekal boleh memohon faedah hilang upaya dengan melengkapkan borang berkaitan sehingga 20 Jun tahun ini.

“Setakat ini, seramai empat mangsa telah memohon faedah hilang upaya kekal telah diselesaikan,” ujarnya.

Suara Sarawak