PERKESO saran ‘riders’ carum SKSPS

KUCHING: Kesedaran golongan penghantar barangan dan makanan di negeri ini untuk mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) masih rendah.

Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sarawak berkata sikap sedemikian menyebabkan golongan ‘riders’ ini tidak mendapat bantuan daripada PERKESO jika terbabit dalam kemalangan.

“Walaupun pakej perlindungan PenjanaGig dan SPS Lindung di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) itu sudah dihebahkan kepada mereka, namun tidak ramai yang mendaftar dan mencarum setakat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjelas lanjut, PERKESO menyatakan bahawa faedah di bawah SKSPS adalah dari segi faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, faedah pengurusan mayat, faedah orang tanggungan, faedah elaun layanan sentiasa serta faedah kemudahan pemulihan jasmani.

Justeru, PERKESO berharap agar lebih ramai ‘riders’ tampil ke pejabat PERKESO di seluruh negeri untuk mencarum PenjanaGig atau mendaftar SPS Lindung.

Katanya ‘riders’ boleh menghubungi mana-mana Pejabat PERKESO di seluruh Negeri Sarawak, atau Serena Sophia di talian 012-612 3495 untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai kedua-dua pakej perlindungan itu.

Program PenjanaGig adalah bantuan Kerajaan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, 5 Jun 2020 melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), berbentuk sumbangan caruman SKSPS.

Tempoh program ini bermula dari 15 Jun 2020 sehingga 31 Disember 2021.

Manakala SPS Lindung adalah perlindungan di bawah SKSPS, PERKESO di mana kerajaan menyediakan bantuan caruman sepenuhnya kepada kumpulan sasaran Orang Bekerja Sendiri (OBS) sebagaimana yang diumumkan oleh YB Menteri Kewangan semasa perbentangan 2021.

Tempoh program ini bermula dari 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2021.

Suara Sarawak