Perketat kawalan pintu masuk

KUCHING: Sarawak akan memperketatkan kawalan di pintu masuknya, khusus untuk pelawat dari China bagi mengekang penularan wabak novel koronavirus.

Tindakan itu kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan dilakukan di semua lapangan terbang di seluruh negeri ini.

Pun begitu katanya, kemasukan warga China ke negeri ini ketika ini tidak begitu tinggi.

“Yang saya takut ramai pelancong China datang ke Sabah.

“Mereka boleh masuk ke sini melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh di Miri.

“Jadi kita kena ketatkan kawalan masuk di Miri sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya dalam sidang media sempena Program Ju Berambeh Makan Durian di pekarangan Surau Darul Qarar, Kampung Temedak di sini, semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Parti PBB Satok Datuk Ibrahim Baki dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak Sharzede Salleh.

Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak juga sedang mencari tempat kuarantin untuk persediaan jika terdapat pesakit koronavirus di negeri ini, setelah menyedari kekurangan bilik itu di Hospital Umum Sarawak.

“Kami telah meminta kerjasama sebuah syarikat elektronik di Samajaya untuk menggunakan bilik kuarantin mereka, kerana mereka mempunyai bilik yang bersih,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut menyediakan peruntukan yang akan dimaklumkan kemudian untuk membeli topeng muka dan diagihkan kepada rakyat.

Sehubungan dengan itu, Abang Johari menasihati penduduk negeri ini supaya mengelak berkunjung ke tempat tumpuan ramai dan menggunakan topeng muka setiap masa.

Suara Sarawak