Perkhidmatan bas hidrogen ditangguh sementara

KUCHING: Operasi percubaan dan perkhidmatan penumpang bas hidrogen untuk laluan Downtown Heritage dan Damai kini ditangguhkan buat sementara waktu.

Menurut Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro), ia sebagai langkah keselamatan dan pencegahan Covid-19, susulan pemandu bas terbabit mempunyai kontak rapat dengan kontraktor pihak ketiga yang disahkan positif baru-baru ini.

“Sarawak Metro akan memastikan semua pemandu bas hidrogen kami menjalani pemeriksaan Covid-19 dan kami juga akan mensanitasi semua bas.

“Kami akan memaklumkan orang ramai sebaik sahaja perkhidmatan bas hidrogen disambung semula,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syarikat itu menjelaskan sejak meneruskan operasi percubaan pada 2 September tahun lalu, pihaknya telah mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Ia termasuk sanitasi secara berkala di dalam kenderaan, memastikan semua penumpang memakai pelitup muka dan mengambil suhu badan setiap penumpang.