Perkhidmatan bas hidrogen percuma diteruskan

KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) masih meneruskan perkhidmatan bas hidrogen percuma di bandar raya ini walaupun salah sebuah bas milik syarikatnya mempunyai sedikit masalah teknikal.
Menerusi kenyataan Sarawak Metro semalam, sebuah bas hidrogen syarikat itu tidak dapat beroperasi baru-baru ini disebabkan mengalami masalah kecil berkaitan teknikal.
“Bagaimanapun masalah itu tidak menjejaskan operasi percubaan perkhidmatan bas berkenaan seperti dijadualkan,” jelas jurucakap Sarawak Metro, semalam.
Dalam perkembangan yang sama, Sarawak Metro juga telah mengambil tindakan yang diperlukan dalam memastikan perkhidmatan bas tersebut dapat diteruskan.
“Bagaimanapun, kami tidak akan mengambil sebarang risiko untuk meneruskan operasi bas yang terjejas kerana ia masih di bawah tempoh jaminan dan kita masih meneruskan perkhidmatan bas hidrogen percuma di bandar ini,” katanya.
Jelasnya, Sarawak Metro sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah ini dan yakin dapat melakukannya dengan bantuan rakan teknikalnya di Foshan Feichi Automobil Manufacture Co., Ltd (Feichi) di China, walaupun mereka tidak dapat hadir secara fizikal di Kuching kerana menghadapi cabaran disebabkan sekatan perjalanan semasa pandemik Covid-19.
Operasi percubaan untuk bas hidrogen akan diteruskan mengikut jadual ditetapkan yang menyediakan perkhidmatan percuma kepada penumpang bagi laluan Lingkaran Warisan Pusat Bandar hingga ke Damai.
Perkhidmatan bas hidrogen percuma di Kuching merupakan usaha sama Kementerian Pengangkutan dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan mula beroperasi dengan tiga bas pada Januari 2020.

Suara Sarawak