Perkhidmatan cekap dan terbaik dengan lori baharu

KUCHING: Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd telah menaik taraf dan menambah beberapa lori baharu untuk syarikatnya di Kuching dan Bintulu untuk memastikan syarikat dapat menambah baik perkhidmatan dan kecekapan operasi.

Tidak seperti kenderaan lain, lori trienekens mengalami kerosakan dalam masa yang singkat kerana penggunaan yang kerap dan jarak tempuh yang tinggi.

Trienekens dalam satu kenyataan berkata, dalam mematuhi spesifikasi logistik Trienekens, naik taraf lori terbabit menunjukkan bahawa syarikat komited untuk memelihara alam sekitar berikutan kemaskini kenderaan secara berkala merangkumi pelbagai aspek kemampanan.

“Ini termasuk meningkatkan kecekapan minyak, mengurangkan pengeluaran berbahaya, selain menyelaras kenderaan kepada kitaran penyelenggaraan terkini dan lokasi geografi,” katanya.

Trienekens turut memberitahu, antara manfaat penting naik taraf lori terbabit dapat mengurangkan kos menyelenggara dan memanjangkan perkhidmatan lori tersebut.

Jelasnya, penyelenggaraan lori sampah lama diselenggara dalam tempoh yang panjang dan lebih mahal kerana mengalami kerosakan teruk.

Tambah Trienekens, pembaikian ini adalah mahal dan memberi impak negatif kepada kecekapan penyelengaraan.

Pengurus Bahagian Logistik dan Perkhidmatan Trienekens, Lee Ghee Seng berkata, pihaknya memberi perhatian khusus kepada keselamatan lori mereka- ia adalah penting untuk mengantikan lori lama untuk manfaat keselamatan dan juga untuk tujuan ekonomi.

“Prestasi ketahanan lori baharu tersebut telah dipertingkatkan dengan kemajuan teknologi terkini dan dipasang dengan GPS, kamera pandangan belakang dan beg udara.

“Teknologi navigasi akan membantu perancangan perjalanan pemandu ke arah kecekapan perkhidmatan untuk pengumpulan sampah, meningkatkan kepuasan pelanggan secara menyeluruh,” ujarnya.

Sejajar dengan matlamat syarikat mengenai kualiti dan ketahanan mesin, Trienekens mengamalkan model logistik antarabangsa yang mempunyai ciri keselamatan dan ergonomik dengan mengambil kira peranan penting tenaga kerja dalam memilih kenderaan.

Pemandu dan kelindan juga menikmati keselesaan pada lori baharu tersebut yang dilengkapi dengan sistem pendingin hawa yang lengkap dan kerusi yang luas.