BINTULU: Sistem perkhidmatan telekomunikasi di kawasan luar bandar seluruh negara akan terus ditambah baik dan dinaiktaraf.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata ke arah merealisasikan usaha tersebut, beliau akan turun padang dari masa ke masa, khususnya di kawasan luar bandar di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, bagi memastikan rakyat menikmati perkhidmatan telekomunikasi yang pantas di masa hadapan.
“Saya merasakan pembangunan komunikasi merupakan keperluan mendesak penduduk di kawasan pedalaman kerana ianya merupakan satu-satunya perkhidmatan yang diperlukan terutama bagi berhubung di saat berlakunya kecemasan,” katanya semasa berucap dalam kunjungan ke rumah panjang, Henry Nuni Anak Plen di Sungai Gelam, Ulu Sebauh, malam semalam.
Kunjungan beliau itu merupakan sebahagian dari acara pengisian acara sambutan Hari Gawai Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Bintulu.

Menurutnya, beliau memahami kesukaran yang terpaksa dihadapi penduduk di kawasan pedalaman yang masih belum lagi mempunyai jaringan komunikasi yang baik hingga kini.
Menyedari situasi tersebut, beliau berkata pemerkasaan jaringan komunikasi di kawasan pedalaman perlu dalam memastikan penduduk dapat menikmati perkhidmatan komunikasi yang pantas.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Puchong itu turut memberitahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baharu setahun pemerintahannya akan terus melakukan perubahan dari pelbagai aspek secara berperingkat di seluruh negara.
“Semuanya adalah bagi memastikan kemajuan serta kemakmuran terus dapat dinikmati oleh rakyat di negara ini, sekaligus meningkatkan lagi tahap kehidupan mereka pada masa hadapan,” ujarnya lagi.
Kunjungan beliau ke rumah panjang berkenaan disambut meriah oleh penduduk yang mana turut disertai Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju, Ahli Dewan Negara, Chiew Ling Sie Kiong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Chiew Chiu Sing, dan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Bintulu, Dr John Brian Anthony. .