Perkhidmatan Trienekens disambung semula, beberapa kakitangan bebas perintah kuarantin

KUCHING: Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd semalam mengumumkan bahawa mereka akan meneruskan perkhidmatan pengumpulan sampah dua kali seminggu seperti biasa bagi kawasan-kawasan tertentu di sekitar bandar raya ini di bawah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan ( MBKS) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP).

Dalam satu kenyataan Trienekens berkata, sebelum ini perkhidmatan mereka terjejas berikutan perintah kuarantin selepas beberapa pekerja syarikat berkenaan didapati positif Covid-19.

Menurutnya lagi, memandangkan tenaga kerja yang terjejas teruk, Trienekens telah mengeluarkan notis awam pada 16 Jun lalu memberitahu orang ramai mengenai penempatan kontena Roll-on di kawasan yang ditentukan untuk memudahkan pembuangan sampah isi rumah.

Perkhidmatan pengumpulan sampah di kebanyakan kawasan juga dijadualkan bukan dua kali seminggu seperti
kebiasaannya.

Katanya lagi, ekoran kakitangan secara beransur-ansur dibebaskan daripada perintah kuarantin, syarikat ini melakukan penyambungan semula pengumpulan sampah dua kali seminggu untuk kawasan yang terjejas.

Kawasan terjejas yang tidak disenaraikan dalam laman web rasmi di www.trienekens.com.my/secondschedule tetap berada di bawah jadual pengumpulan sampah seminggu sekali.

Trienekens juga akan mengemas kini orang ramai di laman media sosial rasmi apabila perkhidmatan di kawasan lain disambung semula.

Suara Sarawak