KUCHING: Perkhidmatan pengumpulan sampah oleh Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd dijangka terjejas dalam tempoh dua minggu akan datang.
Pengurus Logistik dan Perkhidmatan Trienekens, Mason Barau berkata ini ekoran syarikat itu mengalami kekurangan lebih 30 peratus tenaga kerja pengumpulan sampah perbandaran, yang terjejas oleh pelaksanaan perintah kuarantin dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Bagaimanapun, katanya bagi menangani masalah tersebut, pihaknya akan menyediakan kontena Roll-on Roll-off (RoRo) di kawasan-kawasan terjejas bagi menampung pembuangan sampah dari rumah.
Menurutnya ia melibatkan kawasan di bawah seliaan Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Utara (MBKS).
“Kami komited memberikan perkhidmatan terbaik untuk orang ramai dalam keadaan yang sangat sukar ini dan akan berusaha membersihkan sampah di kawasan terjejas secepat mungkin,” katanya.
Katanya lokasi yang akan diletakkan dengan kontena RoRo bermula 30 Julai ini ialah Muara Tebas, Lorong Cahaya Aman 2 Taman Puteri, Taman Semariang Aman, Lorong C Kampung Tunku, Jalan Temenggong Haji Gobil, Lorong 6 Boulevard, Metro City serta Lorong 7 Jalan Belatok Taman Malihah.
Mason juga menyatakan keyakinan bahawa perkhidmatan pengumpulan sampah Trienekens akan pulih dalam masa dua hingga tiga minggu, sebaik sahaja kakitangan yang terjejas dapat keluar bekerja.
Justeru, beliau menyeru orang ramai agar memberi kerjasama dengan mengurangkan penghasilan sampah dan menggunakan kontena RoRo yang disediakan serta memastikan semua sampah yang dibuang dibungkus untuk mengelakkan tumpahan.
Senarai kawasan yang terjejas boleh dirujuk melalui www.trienekens.com.my/listofareasaffected.
Untuk maklumat lebih lanjut, hubungi hotline Trienekens di talian 082-612300 (Isnin-Jumaat, 8.30 pagi hingga 5.30 petang), e-mel customercare@trienekens.com.my atau hubungi syarikat melalui aplikasi mudah alihnya, Trienekens Customer Care.