SINGAPURA: Singapura dan Kumpulan Bank Dunia melancarkan Kerjasama Mobilisasi Grid Kuasa ASEAN (AMP) selama tiga tahun untuk mengukuhkan persekitaran kawal selia, institusi dan pembiayaan perdagangan elektrik rentas sempadan.
AMP, yang ditandatangani antara Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Industri (METI), Kementerian Kewangan (MOF) dan Bank Dunia, akan menangani isu berkaitan pengaturan penyaluran tenaga rentas sempadan, sambil menggalakkan kerjasama serantau, pembinaan kapasiti dan pertukaran pengetahuan dalam kalangan negara ASEAN.
Menerusi satu kenyataan bersama, perkongsian itu memanfaatkan kepakaran teknikal dan pengalaman Bank Dunia dalam pembiayaan infrastruktur, pasaran tenaga dan perdagangan kuasa serantau.
Kerjasama itu juga melengkapkan sokongan Bank Dunia untuk membangunkan Grid Kuasa ASEAN menerusi bantuan teknikal, pembiayaan dan penglibatan sektor swasta.
Pengurus Hub Serantau Bank Dunia Singapura, Kristina Svensson berkata, merealisasikan Grid Kuasa ASEAN akan memerlukan kerjasama serantau yang mampan, penyelesaian praktikal, pelaburan sektor swasta dan kapasiti institusi yang kukuh.
“Bank Dunia berbesar hati untuk menyumbang pengalaman globalnya, kepakaran teknikal, kuasa penganjuran dan keupayaan pembiayaan untuk membantu rakan kongsi ASEAN menterjemahkan cita-cita bersama ke dalam projek yang boleh dilabur dan faedah ketara untuk rakyat dan ekonomi di seluruh rantau ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah MOF (Antarabangsa), Alvin Lim percaya AMP akan membantu mengukuhkan asas sistem kuasa ASEAN, bergerak ke arah ASEAN yang lebih berhubung dan terjamin tenaga.
“Grid Kuasa ASEAN adalah satu usaha penting yang akan membolehkan peralihan tenaga dan daya tahan rantau ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah METI (Perkongsian Tenaga), berkata menarik minat komuniti pembiayaan untuk menyertai Grid Kuasa ASEAN memerlukan cabaran pengawalseliaan dan isu berkaitan bank ditangani sebaiknya.
Beliau berkata Singapura optimis AMP akan menangani halangan ini, yang seterusnya akan membantu usaha ASEAN untuk mewujudkan grid yang lebih berhubung dan berdaya tahan.-Bernama



