ARTIKEL

Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki ketika berucap pada Majlis Pelancaran Penerbangan Sulung AirBorneo Kuching-Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, hari ini. Foto: Alverdtekoster Anyap

Perkukuh Hubungan Udara Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penerbangan sulung AirBorneo yang menghubungkan Kuching dan Kuala Lumpur hari ini menandakan permulaan operasi syarikat penerbangan itu dalam memperluas jaringan udara Sarawak.

Pengerusi AirBorneo, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, penerbangan sulung laluan Kuching-Kuala Lumpur hari ini bukan sekadar perjalanan komersial pertama syarikat penerbangan itu, malah melambangkan keupayaan Sarawak membangunkan sebuah industri yang teknikal dan kompleks.

Penerbangan sulung AirBorneo menggunakan pesawat Boeing 737-800 dari Kuching ke Kuala Lumpur hari ini. Foto: Alverdtekoster Anyap

Beliau berkata, pencapaian bersejarah tersebut merupakan hasil daripada visi dan komitmen Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam merealisasikan aspirasi Sarawak memiliki syarikat penerbangannya sendiri.

“Yang bermula sebagai satu aspirasi kini menjadi kenyataan apabila AirBorneo memulakan perjalanan bersejarahnya.

“Pencapaian ini membuktikan pelibatan dan keupayaan Sarawak dalam membangunkan serta mengendalikan sebuah industri yang begitu teknikal dan kompleks,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Penerbangan Sulung AirBorneo Kuching-Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, hari ini.

Menurutnya, pelancaran ini lebih bermakna kerana berlangsung hanya dua hari sebelum sambutan Hari Sarawak, sekali gus menjadi hadiah istimewa buat seluruh rakyat negeri.

Katanya, kewujudan AirBorneo bukan sekadar menyediakan pilihan baharu kepada pengguna, tetapi membawa misi lebih besar untuk memperkukuh hubungan, ekonomi dan peluang.

Sehubungan itu, beliau berkata sambungan udara yang lebih baik merupakan keperluan penting bagi Sarawak memandangkan penerbangan menjadi penghubung utama rakyat untuk pendidikan, pekerjaan, perniagaan serta hubungan keluarga.

“Bagi sebuah negeri seperti Sarawak, hubungan udara bukan satu kemewahan, tetapi satu keperluan yang menjadi nadi ekonomi dan kesejahteraan sosial rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata penerbangan sulung tersebut turut menandakan kemasukan AirBorneo ke era penerbangan jet komersial menerusi pengenalan dua pesawat Boeing 737-800 secara pajakan basah (wet lease).

“Dengan dua penerbangan sehari di antara Kuching dengan Kuala Lumpur, AirBorneo akan memainkan peranan sebagai jambatan yang menghubungkan komuniti melibatkan pelajar, keluarga, pekerja, usahawan dan pelancong.

“Perjalanan AirBorneo selepas ini pastinya berdepan cabaran, namun pihak kami yakin syarikat penerbangan ini mampu berkembang serta terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Setiap perjalanan besar bermula dengan satu langkah. Besar atau kecil, yang penting adalah keberanian dan tekad untuk terus bergerak ke hadapan,” katanya.

BERITA LAIN

15 penerima peruntukan khas Perdana Menteri di Mukah

MUKAH: Majlis Sambutan Warga Emas Mukah bukan sahaja menjadi wadah menghargai golongan berusia, malah turut menyaksikan penyerahan pelbagai peruntukan dan sumbangan bagi menyokong keperluan masyarakat

BERITA TERBARU

15 penerima peruntukan khas Perdana Menteri di Mukah

MUKAH: Majlis Sambutan Warga Emas Mukah bukan sahaja menjadi wadah menghargai golongan berusia, malah turut menyaksikan penyerahan pelbagai peruntukan dan sumbangan bagi menyokong keperluan masyarakat