KUALA LUMPUR: Kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri dengan pihak swasta perlu diperkukuhkan melangkaui penswastaan, dalam usaha melancarkan inisiatif pembangunan projek infrastuktur negara di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12).
Menteri Besar Selangor yang juga Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari berkata sudah tiba masanya projek infrastruktur negara tidak hanya menumpukan pembangunan oleh pihak kerajaan sahaja, sebaliknya digabungkan dan dicantumkan dengan usaha menyeluruh yang dilaksanakan oleh pihak swasta.
“Ini supaya pembangunan, khususnya aspek infrastruktur besar negara seperti pelabuhan, lebuh raya dan sebagainya digabungkan dengan inisiatif swasta yang bukan hanya dalam bentuk penswastaan tetapi gabungan bersama dengan rencana oleh pihak kerajaan.
“Kerajaan merangka bandar baharu, kawasan perindustrian baharu, kawasan perkampungan baharu iaitu usahausaha ini digabungkan dengan inisiatif pihak swasta yang dananya juga digabungkan antara dana persekutuan atau dana negeri dengan dana swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu membahaskan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke12 (RMK12) di Dewan Rakyat, semalam.
Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan menambah jumlah siling perbelanjaan sebanyak RM15 bilion di bawah KSP RMK-12, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan kepada RM415 bilion.
Beliau berkata peningkatan itu adalah bagi menambah keperluan untuk membiayai bidang keutamaan rakyat di samping memperbaiki mutu pengurusan dan menyasarkan semula subsidi bagi menampung keperluan asas rakyat. – Bernama