KUCHING: Persidangan Rabies di Borneo (RIB) 2022 akan menjadi platform utama dalam menghimpunkan jalan penyelesaian bagi menangani wabak Rabies di negeri ini.
Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, wabak Rabies yang menular sejak 2017 merupakan masalah yang serius dihadapi di negeri ini.
Katanya, ia tidak boleh dipandang ringan setelah 42 kes kematian dilaporkan disebabkan oleh wabak tersebut sejak 2017.
Justeru melalui persidangan ini katanya, ia akan mewujudkan lebih banyak program kesedaran dan menyalurkan maklumat berkaitan kepada masyarakat berhubung wabak tersebut.
“Ia juga dapat mewujudkan platform yang membolehkan lebih maklumat penting berkaitan wabak tersebut dapat disalurkan,” katanya pada Majlis Pelancaran dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Persidangan Rabies di Borneo 2022 di sini hari ini.
Rundi berkata, ancaman Rabies bukan sahaja membabitkan Sarawak, malah ia memberi kesan kepada Sabah, Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia.
Sehubungan itu beliau berkata, Sarawak perlu menjalinkan kerjasama dengan negara terbabit dalam mengawal penularan Rabies sekaligus bebas dari wabak itu.
Jelasnya, melalui kerjasama itu, Sarawak dan kepulauan Borneo dapat mengawal dan bebas Rabies.
“Ia sejajar dengan matlamat yang ditetapkan sebelum ini iaitu bebas dari wabak Rabies menjelang 2025,” tegasnya.
Hadir sama, Timbalan Menteri Permodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Martin Ben, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Dr Adrian Susin Ambun dan Pengarah dan Perunding Utama Borneo Place Sdn Bhd Gracie Geikie.
