
MUKAH: Adun Balingian Abdul Yakub Arbi berpendapat Bajet 2023 membawa pendekatan reaktif, bertanggungjawab ke arah pembaharuan dan memperkukuhkan momentum pemulihan ekonomi negara.
Menurutnya, bajet yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia Makmur Bersama’ itu amat bertepatan dan memenuhi keperluan rakyat dan perniagaan, serta memacu pertumbuhan sosioekonomi yang mampan.
“Malah ia tidak menyasarkan golongan tertentu sahaja, bahkan buah fikiran dikumpulkan dan diteliti yang akhirnya diterjemahkan menjadi satu bajet yang disusun hasil pemikiran Keluarga Malaysia.
“Kerajaan juga cukup prihatin apabila menyediakan RM1 bilion untuk Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia dan menyediakan peluang ekonomi kepada 50,000 isi rumah miskin.
“Semoga ia memberi manfaat buat Sarawak yang berusaha keras membasmi kemiskinan tegar,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.
Mengulas lanjut, katanya jumlah keseluruhan bajet RM372.3 bilion itu juga memberi jaminan untuk kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan kemakmuran ekonomi serta kecekapan perkhidmatan kerajaan.
“Peruntukan itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding Bajet 2022. Langkah ini diambil kerajaan bagi memulihkan keadaan dan prestasi negara selepas dilanda wabak Covid-19 yang agak lama,” ujarnya.
Namun katanya, peruntukan Sarawak sebanyak RM5.4 bilion yang kurang berbanding RM6.3 bilion untuk Sabah membawa sedikit persoalan sedangkan negeri ini jauh lebih luas.