Perlaksanaan projek RTP DUN Repok lancar

SARIKEI: Perlaksanaan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok berjalan lancar hasil kesungguhan Kerajaan Sarawak melaksanakannya demi manfaat rakyat.

ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, sejak empat tahun lalu, kerajaan berjaya melaksanakan sekurang-kurangnya 100 projek RTP yang memberi faedah besar kepada rakyat di DUN Repok.

Daripada jumlah itu katanya,  sebanyak 16 pelbagai jenis projek berjaya dilaksanakan pada 2016,  28 projek 2017, 17 projek (2018) dan 44 projek pada tahun ini.

“Kesemua peruntukan RTP itu dimanfaatkan untuk membina dan membaik pulih kawasan di rumah panjang, dewan orang ramai, rumah panjang, surau, gereja, tokong, sekolah, jalan gelanggang serba guna dan lain lain lagi.

“Kita juga melaksanakan naiktaraf pagar tanah perkuburan Islam, gereja Methodist, St Anthony, bina tandas baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Putih, SK Selangan dan menaiktaraf Jalan  Meruton serta Merudu,” katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak projek RTP bagi DUN Repok di sini, semalam.

Huang bersama rombongan meninjau tapak projek RTP di DUN Repok.

Dalam pada itu, beliau mengulangi penghargaannya kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg yang banyak melaksanakan program pembangunan untuk rakyat Sarikei.

Katanya, pelaksanaan projek pembangunan berimpak tinggi seperti Jambatan Sungai Pasi dan laluan baharu ke Tanjung Manis membawa faedah besar kepada rakyat.

“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai perancangan tersendiri yang mampu memberi manfaat kepada rakyat dalam tempoh jangka panjang. Justeru, kita memerlukan sokongan untuk meneruskan agenda pembangunan.

“Usaha itu tidak boleh dilaksanakan  dalam tempoh singkat kerana memerlukan perancangan rapi. Saya memberi jaminan terus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” ujarnya.

Bidang pendidikan sentiasa mendapat perhatian Huang sejak menjadi wakil rakyat.

 

Pelaksanaan projek RTP DUN Repok berjalan lancar.