ARTIKEL

SKUAD 1997... Skuad Sarawak pimpinan Alan Vest juara Liga Perdana 1997.

Perlu ada skuad S’wak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

JUARA liga 10 kali berturutturut, Johor Darul Ta’zim yang membolot 26 trofi sejak 2013, termasuk satu trofi Piala AFC akan menentang jaguh lama Selangor FC pada 10 Mei nanti dalam saingan Piala Sumbangsih.

Sehari kemudian menyusul Liga Super 2024. Wakil Sarawak, Kuching City FC (KCFC) akan tampil lebih mantap dengan kehadiran ramai muka baharu. Ini merupakan musim kedua KCFC menyertai Liga Super setelah menimba banyak pengalaman berguna musim lalu, di tangga kedua tercorot, dengan hanya dua kemenangan, enam seri dan 18 kekalahan.

Ia juga musim kedua buat jurulatih Aidil Sharin Sahak yang menggantikan Irfan Bakti Abu Salim sekitar hampir penghujung musim lalu.

Rombakan drastik, dengan kemasukan beberapa tenaga import asing berkaliber serta pemain lokal berpengalaman menjadikan KCFC kali ini kelihatan lebih yakin untuk mencabar nama-nama besar.

Nur Shamie Iszuan dan Rodney Celvin antara yang disenaraikan. Mereka merupakan anak Sarawak yang lama berkelana di Semenanjung bersama Pahang FC dan Kedah FC. Rodney turut pernah bersama Selangor FC.

Malah keduaduanya pernah bersama skuad Harimau Malaya. Import asing pula ialah Jordan Mintah (penyerang), Tchetche Kipre (penyerang) dan James Okwousa (pertahanan).

Ketiga-tiganya cukup berpengalaman di pentas Liga Malaysia kerana pernah bersama empat pasukan, Kedah, Terengganu, KL City dan PDRM.

Di atas kertas KCFC bolehlah memasang impian untuk berada dalam kelompok lima teratas Liga Super serta mengintai peluang mara lebih jauh dalam kempen Piala FA dan Piala Malaysia.

Sebagai pasukan kelab yang bermula dari bawah, Liga Bola Sepak Rakyat pada 2015, kejayaan KCFC berada dalam Liga Super sekarang ini harus dipuji, berkat komitmen padu panel pengurusan serta jurulatih dan pemain.

Kini KCFC gah sebagai wakil Bumi Kenyalang untuk mengibar bendera Sarawak. Kehadiran satu lagi pasukan kelab, Machan FC dalam Liga M3, sebagai penyeri kelab dari Sarawak.

Machan yang dibimbing oleh David Usop sambil dibantu Ramos Sari dan Ramles Sari dibarisi beberapa bekas pemain Kuching City dan Sarawak United serta generasi pemain baharu.

Ia bermakna Sarawak mempunyai dua wakil untuk mewarnai Liga Malaysia 2024.

Penyertaan julung kali Machan FC ini sekurang-kurangnya membuka peluang kepada pemain yang masih aktif untuk beraksi, setelah tiada ruang untuk menyarung jersi KCFC.

Bagaimana pula dengan pasukan Sarawak?

Setelah Sarawak United FC menarik diri daripada Liga M3, ramai peminat tertanya-tanya, dan timbul persoalan… adakah tiada lagi pasukan Sarawak selepas ini?

Yang pasti, tiada lagi aura pasukan Sarawak yang pernah kita saksikan sebelum ini, sejak kemunculan Sarawak United FC pada 2020 hingga 2023. Hakikatnya pasukan Sarawak merupakan satu jenama yang mewakili semua rakyat di negeri ini sejak menyertai Piala Malaysia pada 1979.

Sebelum itu (1974), Allahyarham Datuk Taha Ariffin menubuhkan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) yang menjadi asas pasukan sehingga terbentuknya skuad berinspirasi tinggi Ngap Sayot pada 1988 dan 1989 yang menjadi lambang kekuatan dan kemegahan.

Walaupun tiada trofi juara ketika itu, tetapi skuad Awang Mahyan Awang Muhamad ini menjadi perintis kejayaan selepas itu.

Transformasi pasukan pada era semipro dan profesional dengan beberapa kejayaan yang membanggakan.

Jika era Ngap Sayot bergantung kepada tenaga tempatan, era Bujang Senang pula menyaksikan perubaham drastik dengan kemasukan jurulatih asing serta beberapa tenaga import luar dan tempatan.

Namun masih menjadikan pemain lokal sebagai asas kekuatan dan simbol semangat perjuangan pasukan. Mohd Ali Sapiee, Jalil Ramli, Roslan Ismail, Affendi Julaihi, Dahlan Matusin, Zaidel Sakup, Ibrahim Mantali, Zapri Manai, Bobby Pian, Ramos Sari, Ramles Sari adalah watak penting pasukan pasca-Ngap Sayot.

Kemasukan tenaga import menambahkan lagi kekuatan kesebelasan utama. Trio dari Australia, John Hunter, David Evans dan Jeff Curran serta trio dari Melaka, Mazlan Wahid, Shamsurin Abdul Rahman dan Ong Kim Swee.

Sejak itu, skuad Sarawak bersandarkan tenaga import, tetapi masih mengekalkan identiti pemain tempatan sebagai tonggak kekuatan.

Bermula dengan kejayaan naib juara Divisyen Satu pada 1991, Sarawak mencipta sejarah menjuarai Piala FA 1992 setelah mengatasi Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Negeri.

Kemudiannya menyusul kejayaan yang lebih besar, juara Liga Perdana 1997. Ketika itu, Liga Perdana merupakan liga utama, sama seperti Liga Super sekarang ini.

Pada 1998, Sarawak melakar satu lagi kejayaan, menjulang Piala Sumbangsih.

Namun sayang sekali usaha Alan Vest untuk membawa pulang Piala Malaysia menemui jalan buntu setelah kecundang pada saingan separuh akhir pada 1995 dan 1996.

Namun ia kembali bersinar pada 1999 apabila Jalil Ramli mengemudi pasukan ke pentas final, tetapi agak malang apabila tewas 2-1 kepada Brunei di Stadium Merdeka.

Sejak itu, tiada lagi kejayaan besar, dan terpaksa menunggu 14 tahun untuk juara lagi, merangkul Liga Perdana 2013 di bawah bimbingan Robert Alberts.

Ketika itu, Liga Perdana bukan lagi liga utama, tetapi yang kedua. Joseph Kallang Tie, Zamri Morshidi, Shahrol Saperi, Hairol Mokhtar dan Mazwandi Zakaria merupakan pemain utama tempatan ketika itu bersama-sama tiga import handal, Guy Bwele, Muamir Salibsic dan Bobby Gonzales (Sabah).

Sarawak tidak terkalah sepanjang aksi liga ketika itu.

Pasukan tersebut turut mara ke separuh akhir Piala Malaysia 2013, tetapi tewas kepada Pahang.

Sejak itu, tiada lagi kejayaan yang membanggakan dan lebih malang nama Sarawak hilang dari radar Liga Malaysia 2024.

Ada pemerhati yang menyatakan bahawa ketiadaan pasukan Sarawak merupakan satu tamparan hebat.

Katanya, kita tidak menafikan penyertaan Kuching City sebagai wakil… tetapi apa kita mahukan ialah, nama Sarawak, iaitu pasukan Sarawak yang memberi gambaran tentang seluruh rakyat Sarawak.

Kuching City adalah sebuah kelab, auranya tidak sama dengan pasukan Sarawak dari segi, identiti, personaliti, sejarah dan tradisi.

Realitinya kita berharap skuad Sarawak akan tampil segera dalam Liga Malaysia 2025.

Bermula dari bawah tidak mengapa.

Tidak ada apa yang dimalukan, kerana itulah hakikat reputasi skuad Sarawak sekarang ini.

Ataupun bola sepak Sarawak akan terus bergantung kepada Kuching City?

Yang pasti, kita tetap berharap Kuching City akan melakar kejayaan lebih besar.

Tetapi pasukan Sarawak tetap berada di hati.

BERITA LAIN

Kita saling mengingati

PADA minggu depan minggu terakhir 20 pelatih universiti akan menamatkan latihan industri di organisasi kami. Sesungguhnya kami berbangga kerana menjadi pilihan universiti meletakkan pelajar mereka

Affandi Tahir, rakam sejarah melalui pita

BELIAU bukan seorang penyanyi. Beliau juga bukan seorang pelakon. Tetapi namanya cukup popular suatu ketika dahulu. Bukan hanya kerana ketampanannya, tetapi kerana beliau penyiar radio

Telus, sahih dan tepat

SEBELUM ada komputer dan telefon bimbit canggih seperti hari ini, wartawan bergantung kepada komputer di pejabat untuk menulis berita. Dan biasanya wartawan hanya akan berada

Ketagih subsidi

ISU berkaitan subsidi kembali hangat diperkatakan. Adakah pemberian subsidi sesuatu yang harus terus diamalkan ketika beban hutang negara semakin membengkak? Bagaimanakah reaksi rakyat apabila subsidi

Tragedi dunia maya Si Kucing Gendut

FAT Cat, 21, atau nama sebenarnya Liu Jie, selebriti dunia gamer – permainan popular Honour of Kings – namanya tiba-tiba melonjak di dunia maya khususnya

Zaman makin canggih, adab makin mundur

KETIKA masih kanak-kanak atau zaman sekolah sekitar tahun 90-an atau awal 2000, kita amat menghormati orang lebih tua terutama ibu bapa. Ini kerana kebanyakan kita

BERITA TERBARU