Restoran Puzzle saji pelbagai menu istimewa pakej bufet Ramadan

Perlu buat saringan kanser

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

SUDAHKAH anda menjalani saringan kanser? Mungkin kedengaran agak ganjil, kenapa perlu menjalani saringan sedangkan tidak mempunyai sebarang tanda mahupun simptom masalah kesihatan tersebut. Namun, ketahuilah bahawa pemeriksaan kesihatan secara berkala mampu mencegah dan mengesan penyakit kanser pada peringkat awal dengan mengetahui jenis-jenis pemeriksaan yang sesuai untuk saringan tersebut.

Ini penting kerana 63.7 peratus kanser di Malaysia dikesan pada tahap lewat, iaitu pada tahap ketiga dan keempat. Saringan awal mampu menyelamatkan nyawa! Kenapa perlu buat saringan kanser? Ujian saringan untuk pengesanan awal penyakit kanser ini perlu kerana seseorang mungkin tidak mempunyai gejala langsung atau sakit yang serius. Malah terdapat sesetengah saringan seperti kolonoskopi dapat mengesan dan membuang ketumbuhan sebelum sempat berubah menjadi kanser.

Bahkan saringan yang dapat mengesan kanser lebih awal, pada tahap satu dan dua, memberi peluang untuk sembuh lebih tinggi berbanding apabila kanser dikesan pada tahap tiga atau empat. Bilakah waktu yang terbaik untuk saya lakukan saringan kanser? Terdapat beberapa panduan pada umur berapa dan seberapa kerap seseorang itu sesuai melakukan saringan kanser.

Namun penting bagi seseorang itu melakukannya jika berisiko tinggi mempunyai kanser seperti usia yang lanjut, sejarah keluarga dan mempunyai gejala membimbangkan. Untuk pengetahuan bersama, terdapat empat jenis kanser yang boleh dilakukan saringan awal antaranya kanser kolorektal, payudara, prostat dan pangkal rahim. Bagi kanser kolorektal, lazimnya seseorang patut memulakan saringan pada umur 50 tahun.

Antara jenis ujian yang boleh dilakukan adalah ujian Faecal Occult Blood bagi mengesan darah dalam sampel najis pesakit. Manakala ujian kolonoskopi dan sigmoidoskopi untuk mengesan ketumbuhan polip dalam saluran rektum dan kolon. Sementara untuk kanser payudara, wanita perlu membuat pemeriksaan sendiri setiap bulan untuk mengesan perubahan pada bentuk, benjolan dan ketulan.

Golongan wanita seboleh- bolehnya melakukan ujian saringan bermula umur 40 hingga 45 tahun melainkan mereka yang berisiko tinggi perlu bermula seawal 30 tahun. Ujian imbasan mammogram boleh dilakukan di hospital setiap tahun atau dua tahun apabila berumur 55 tahun ke atas. Untuk kanser pangkal rahim yang juga melibatkan golongan wanita, ujian disebut pap smear perlu dilakukan sejak berusia 21 tahun setiap tiga tahun sekali walaupun belum berkahwin. Ujian tersebut bagi mengesan perubahan tidak normal pada sel- sel di serviks sebelum kanser itu terjadi.

Selain itu, ujian diagnostik Human Papilloma Virus(HPV) mengikut sejarah penyakit, gaya hidup dan atas saranan doktor juga boleh dilakukan. Manakala bagi kanser prostat, golongan yang berisiko khususnya lelaki boleh melakukan saringan pada umur 50 tahun atau lebih awal pada umur di sekitar usia 40 hingga 45 tahun bagi yang berisiko. Kebiasaannya ujian darah Prostate Spesifik Antigen (PSA) akan dibuat untuk mengukur paras PSA, iaitu sejenis protein yang dihasilkan oleh sel prostat di dalam badan. Kebiasaannya bacaan PSA akan tinggi bagi penghidap kanser.

Paras PSA yang tinggi perlu disahkan bersama ujian-ujian saringan lain seperti pemeriksaan rektal digital, ultra bunyi, ujian aliran kencing dan lain-lain yang doktor rasakan sesuai. Namun, perlu diingatkan bahawa saringan-saringan semua kanser ini mungkin membawa kepada keputusan salah-positif atau salah-negatif dan kemungkinan kepada terlebih diagnosis atau rawatan. Maka pemeriksaan komprehensif akan dibuat untuk pengesahan kanser. Oleh itu, penting untuk berbincang dengan doktor sebelum melakukan saringan kanser dan fahami kemungkinan hasil dari pemeriksaan yang anda lakukan.

Berita Berkaitan

Elak pembaziran

MASYARAKAT Islam bakal menyambut bulan Ramadan AlMubarak dalam masa terdekat,

E-Paper

22 Mac 2023

Berita Terbaru