MIRI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu membuat rondaan lebih kerap di kawasan perumahan terutama di Vista Perdana ekoran peningkatan kes kecurian baru-baru ini.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Adam Yii berkata, lawatan khas bersama-sama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Daerah Miri, Loh Wooi Kee telah diadakan bagi membincangkan perkara itu.
“Kita meminta pihak polis menyelesaikan kes dengan cepat dan menambahkan rondaan polis bagi pencegahan jenayah di kawasan berisiko. “Oleh kerana pandemik Covid-19, orang ramai sudah berasa susah dan saya tidak mahu melihat peningkatan jenayah menyebabkan penduduk bertambah risau dan berasa takut,” katanya di sini pada Selasa.
Sebagai Datuk Bandar Miri katanya, dia akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan Miri adalah tempat tinggal yang selamat dan selesa. “Kita mahu polis terus menjalankan tugas dan memperkuat rondaan, menyiasat, menyelesaikan jenayah dan membawa penjenayah ke muka pengadilan bagi menjadikan Miri bandar selamat,” ujarnya.
Dalam pertemuaan itu, Adam Yii diberi taklimat mengenai kadar jenayah dan strategi polis dalam tindak balas terhadap peningkatan kes jenayah. Loh berkata, pegawai siasatan jenayah telah membuat beberapa tangkapan terhadap sindiket pecah rumah, pencuri kereta dan jenayah lain baru-baru ini. “Kita telah mendapat sokongan masyarakat dalam menyelesaikan kes jenayah, malah kebanyakan kes dapat diselesaikan dengan cepat. “Saya juga meminta masyarakat melaporkan semua kejadian jenayah kepada polis untuk tindakan segera,” tegasnya. Tambahnya, kadar jenayah di Miri sebenarnya menunjukkan penurunan hasil kerjasama orang awam membantu polis dalam menyalurkan maklumat dan sebagainya. Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Ketua Pasukan Rondaan Jawatankuasa Penduduk Malateh Mahmud.