Perluaskan bidang antropologi

BINTULU: Persidangan empat hari mengenai Antropologi Linguistik Asia 2020 (Cala) bermula Rabu hingga Sabtu ini yang bertemakan Asian Text, Global Content disempurnakan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Abdul Karim berkata, persidangan itu merupakan susulan persidangan di Kemboja tahun lepas.

“Persidangan ini akan mencetuskan idea baharu. “Ia sebagai dorongan yang membawa kepada kejayaan inovatif serta strategi bagi mencapai kejayaan dalam bidang antropologi di rantau ini,” katanya.

Beliau memuji Fakulti Bahasa dan Komunikasi Moden Kampus Bintulu Universiti Putra Malaysia (UPMKB) atas usaha menganjurkan persidangan yang berjaya mengumpul semua yang terbaik dari seluruh negara dan luar negara.

“Sebagai pendidik, penyelidik dan penggubal dasar, saya yakin kita bersetuju bahawa pelbagai topik akan dibentangkan dalam persidangan tahun ini yang relevan dalam senario pendidikan tinggi hari ini,” katanya.

Beliau berkata, pada Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan tahun lalu, Kerajaan Sarawak bersetuju untuk memberikan universiti itu Kursi Penyelidikan Pehin Sri Adenan Satem dan Cala 2020.

Sementara itu, Pengarah UPMKB Profesor Dr Bujang Kim Huat berkata, Cala 2020 bertujuan meneroka perspektif semasa, dalam bidang linguis-tik, antropologi dan kajian budaya terutamanya di Asia.

Suara Sarawak