Perluaskan pendapatan negeri

KUCHING: Bajet Sarawak 2021 dirancang untuk mewujudkan ekosistem pelaburan yang tinggi bagi sektor swasta dan sesuai dengan model pembangunan ekonomi baharu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pada dasarnya ia strategi pembangunan Kerajaan Sarawak yang lebih baik untuk negeri ini pada masa akan datang.

“Perkara ini juga dikritik oleh Adun Kota Sentosa Chong Chieng Jen dengan mendakwa bahawa Kerajaan Sarawak telah berbelanja secara berlebihan.

“Pada masa yang sama, beliau (Chieng Jen) menuntut agar Kerajaan Sarawak membelanjakan tambahan RM1 bilion untuk Bajet 2021 yang dicadangkan,” katanya dalam ucapan penggulungan sempena Persidangan Dun pada Jumaat. Abang Johari berkata, beliau cenderung untuk mempercayai bahawa Chieng Jen keliru dengan apa-apa yang dimahukan.

“Adakah beliau mahu Kerajaan Sarawak meningkatkan perbelanjaan atau mengurangkan perbelanjaan? “Saya bingung dengan kenyataan bertentangan Adun Kota Sentosa ini kerana ini jelas menunjukkan bahawa niatnya hanyalah untuk mengkritik Kerajaan Sarawak,” tegasnya.

Dalam hal berkaitan jelasnya, Sarawak dapat mencapai kemampanan fizikal ketika ekonomi berkembang kerana menggunakan pelbagai pendekatan dalam pelaksanaan bajet negeri.

“Kita mempunyai sumber pendapatan lain yang akan memastikan ekonomi sihat dan berfungsi dengan baik.

“Ini termasuk memperluaskan asas pendapatan negeri yang kini telah memperkukuhkan kemampuan kewangan kita dan menyokong negeri dalam memenuhi objektif untuk mencapai kedudukan kewangan yang baik.

“Syukur Alhamdullillah, inisiatif pembiayaan alternatif kita dengan penubuhan bank kita sendiri, Bank Pembangunan Sarawak (DBoS) telah terbukti menjadi platform yang mampan untuk memudahkan dan mempercepatkan pelaksanaan agenda pembangunan negeri,” jelasnya lagi.

Suara Sarawak