Perlukah PKP dilaksanakan semula?

KES Covid-19 di negara sedang mengalami peningkatan jika tidak dibendung berkemungkinan kita berhadapan dengan gelombang keempat.
Malah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan mengenai pelaksanaan PKP semula pada Isnin ini.
Wajarkah kita berdepan dengan sisi gelap PKP sekali lagi?
Dalam hal ini, banyak perkara yang perlu kita ambil perhatian termasuk prosedur operasi standard (SOP) pembukaan kedai, penganjuran majlis serta kebenaran untuk merentas negeri atau daerah.
Mungkin pelaksanaan SOP yang lebih ketat memberikan kesan kepada banyak perkara tetapi cara sedemikian membantu masyarakat seluruh negara mengekang penularan wabak Covid-19.
Kita mengambil perhatian yang serius apabila kes semakin cepat merebak dan kes positif kini mencecah empat angka dengan rekod kematian meningkat.
Siapa yang kita persalahkan?
Adakah kita hanya menuding jari ke arah satu pihak semata-mata?
Sebagai masyarakat yang prihatin kita tidak boleh menuding jari ke arah mana-mana pihak, tetapi kita perlu menjalankan tanggungjawab untuk menjaga sesama kita dalam memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan.
Kerjasama dengan pihak berkuasa juga penting dalam perkara ini kerana jika ada kontak rapat yang tidak mahu memberikan kerjasama untuk menjalankan ujian saringan dan menjalani kuarantin kendiri ia akan menimbulkan
masalah yang besar.
Adakah anda ingat kes individu yang menjalani menjalani kuarantin tetapi keluar dengan memakai wristband yang disediakan oleh pihak berkuasa, perkara sedemikian memalukan dan menunjuk kan kita tidak mampu patuh dengan peraturan yang telah ditetapkan.
Ia juga mencerminkan betapa masyarakat kita pentingkan diri dan tidak memikirkan keadaan orang di sekeliling.
Sikap beginikah yang kita mahu jadikan contoh?
Tepuk dada tanya selera.
Bercakap tentang kerjasama ini, ia telah disarankan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr. Sin Kui Hian baru-baru ini.
Beliau telah memuat naik satu hantaran ke laman Facebook miliknya dan menyeru masyarakat untuk terus memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa untuk memutuskan rantaian Covid-19 khususnya di negeri ini.
Menurutnya, perkara tersebut sangat penting terutama sekali ketika berlaku lonjakan kes baru-baru ini.
Masyarakat perlu melakukan perkara yang terbaik untuk memastikan ia bukan permulaan gelombang keempat Covid-19 di Sarawak, tolong bantu lindungi negeri ini, jangan kita jadi tukang lihat sahaja. Kita sendiri melihat permulaan tahun ini menyaksikan pelbagai insiden dan apa yang lebih membimbangkan kes keseluruhan Covid-19 di Sarawak meningkat dengan pengumuman kluster baharu.
Ini bukan satu petanda yang baik untuk kita semua, ia akan memberikan kesan kepada banyak perkara termasuk kehidupan sosial.
Masyarakat perlu mengawal sendiri pergerakan tanpa arahan pihak berkuasa dan perlu bijak dalam menjaga diri.
Kerana pada satu tahap, semua pilihan terletak di tangan kita sendiri.
Jangan jadi masyarakat penting diri, kerana dengan kerjasama sahaja kita mampu memutuskan rantaian Covid-19.

Suara Sarawak