SEKOLAH kluster kecemerlangan biasa didengar. Tetapi tidak bagi sekolah ‘kasta’.
Saya yakin pembaca faham dan sudah tahu akan hal ini — cadangan mewujudkan sekolah khas untuk pelajar miskin.
Hingga ke hari ini, sudah enam hari isu sekolah ini diketengahkan.
Setelah diumumkan oleh Perdana Menteri dan kemudian disusuli Menteri Pendidikan, diperhatikan banyak netizen tidak bersetuju berbanding menyokong cadangan tersebut.
Bukan setakat orang biasa, malah mereka yang terlibat secara langsung dengan pendidikan juga tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan sekolah khas untuk pelajar miskin.
“Ermmm… kurang bijak,” tulis Bai Tie dalam satu komen balas terhadap komen Asyraff Jamin mengenai cadangan itu dalam Facebook beberapa hari lepas.
Jelas Asyraff, “Pada saya, mekanisme seperti ini sememangnya tidak relevan, apalah makna dan fungsi Sekolah Kebangsaan kalau begitu?
Sepatutnya perkasakan, bukannya asingkan.”
Melihat dari sudut pandang realis dan humanis jelasnya, tindakan ini hanya akan menyebabkan wujudnya kasta seperti yang dikatakan warganet dan menjadikan sistem pendidikan kita semakin terpisah di samping mewujudkan jurang baharu.
Dilah Tuah memulakan komentar dengan tajuk “Sekolah keluarga miskin”.
Jelasnya, kemiskinan dalam kalangan murid sekolah bukan pilihan.
“Tiada siapa mahu hidup miskin.
Sepatutnya dicadangkan penambahbaikan fasiliti pendidikan.
Agar pelajar miskin mampu keluar dari lembah kemiskinan.
Bukan mencipta kasta antara murid kaya dan miskin,” tegasnya.
Soalnya: “Sebenarnya kita mahu ke mana?”
Tulis Cikgu Justin Amban membalas komentar Dilah, “Benar Doc.
Membina satu sekolah untuk orang miskin adalah langkah mundur ke belakang tetapi maju untuk memisahkan rakyat.”
Kemudian disokong Dyg Kartini Awang Seleeman, “Setuju… sekolah kinek rasanya cukup dah.
Yuran pun tidak la membebankan gilak.
Tambah fasiliti dan guru di sekolah. Ya lebih relevan.”
Mencari lagi informasi tentang cadangan sekolah khas untuk pelajar miskin, terbaca pula komen guru Matematik yang juga pempengaruh, Mohd Fadli Salleh.
Beliau berkata, adalah lebih baik sekiranya Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA diperbesarkan di seluruh negara kerana ia dilihat lebih relevan.
“Katakan sekarang ini pengambilan pelajar baru di SBP sebanyak 10,000 orang, besarkan sekolah itu dan ambil 20,000 orang.
Sebanyak 10,000 tempat tambahan itu 100 peratus kuota untuk pelajar dari keluarga miskin.
“Pada saya itu lebih relevan dan baik.
Pada sayalah.
Pada kalian macam mana?” soalnya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad lalu.
Jaga hati pelajar “Kitak dari sekolah ni?”
“Kamek dari sekolah (khas untuk pelajar miskin)”.
“Oooo sekolah untuk murid miskin ya ka?”
Perbualan dengan rakan tentang hal ini menjurus kepada dialog tadi.
Kata mereka, hal ini tidak dapat dielakkan kerana sudah pun berlaku sebelum ini.
“Oooo kitak dari sekolah ya duhal.
Sekolah orang kaya ya… pande-pande biak sekolah kitak ya.”
Ini antara dialog yang pernah saya dengar ketika masih bersekolah dulu. Ia sedikit banyak menimbulkan rasa rendah diri pelajar yang datang dari sekolah-sekolah biasa.
Lebih-lebih lagi jika ramai pelajar bermasalah dihantar untuk bersekolah di sekolah berkenaan.
Begitu juga dengan sekolah khas pelajar miskin jika benar-benar direalisasikan kelak.
Apa perasaan pelajar ini jika mereka bersaing dengan pelajar sekolah lain yang bukan kategori miskin?
Adakah kita yakin mereka tidak akan berasa rendah diri?
Sedangkan beberapa tahun sebelum ini, ada komen tentang ketetapan kekal pakai pakaian seragam sekolah.
Pada April 2022, Pencetus Ummah Rahmat Ikhsan yang kurang bersetuju dengan pendapat menggunakan pakaian biasa ke sekolah.
Pemakaian pakaian seragam sekolah jelas Rahmat berupaya menyelamatkan maruah keluarga M40 dan B40.
“Ada gesaan daripada ibu bapa untuk memansuhkan baju uniform pelajar sekolah.
Saya tidak bersetuju.
Uniform sekolah menyelamatkan maruah keluarga M40 dan B40,” katanya.
Ketika hal itu dibincangkan, ada komen yang masih saya ingat.
Jika berpakaian biasa ke sekolah, anakanak akan terasa sebab pakaiannya tidak elok seperti pakaian kawankawannya.
Tidak mahu ke sekolah Ini sedikit banyak menyebabkan si anak berat hati hendak ke sekolah.
Belum lagi diejek pakaian tidak cantik.
Jadi, si bapa mungkin terpaksa berbelanja lebih bagi memastikan si anak dapat pakaian baru.
Beban kembali kepada bapa.
Ia sama juga dengan ketika anak-anak diminta membawa makanan ke sekolah untuk sambutan Hari Guru atau jamuan hujung tahun.
Kadang-kadang ada anak yang bingung hendak bawa makanan ke sekolah, bimbang tidak dimakan kawan-kawan.
Satu video di Facebook ada memaparkan seorang murid menangis sebab kawan-kawan tidak makan karipap yang dibawanya.
Nasib baik guru bijak mengendalikan keadaan itu hingga semua pelajar berebut-rebut dengan karipap itu.
Situasi ini yang cuba kita elakkan dalam pendidikan.
Tidak semua peraturan boleh diubah.
Paling utama tingkatkan fasiliti pendidikan agar semua pelajar dapat cemerlang.
Tambah baik bantuan untuk pelajar miskin agar mereka tidak terasa asing berada di sekolah.
Sebab, ada pelajar tidak mahu ke sekolah sebab terasa rendah diri dengan rakan-rakan.
Mungkin satu komen netizen boleh kita hadam betul-betul.
“Wujudkan kasta?
Dekat sekolah tu ramai je orang miskin tapi mereka usaha.
Kerajaan just perlu bantu je mereka. Kenapa perlu asingkan orang miskin, sederhana dan orang kaya?
Macam mane nak wujudkan perpaduan kalau dari kecik dah asingkan mereka?”
Tambahnya lagi, “Nanti masuk U, kau sekolah mana dulu?
Owh sekolah orang miskin ye?”
Jadi, pertimbangkan semula untuk mewujudkan sekolah khas untuk pelajar miskin sebab kesannya kepada pelajar dan ibu bapa.
Ketika negara diteraju Kerajaan Perpaduan, jadi agenda perpaduan harus diutamakan.
Jika rakyat dibeza-bezakan, maka wujud kasta, yang akhirnya menyebabkan kasta B tidak dapat bergaul dengan kasta A.
Tonton filem Tamil, yang banyak memaparkan keburukan kasta dalam kehidupan.
Masyarakat berpecah-belah. Kita tidak mahu situasi ini berlaku.
