Perlukan RM12,000, makan 10 kali sehari

UNTUK menyertai kejohanan besar di peringkat Asia mahupun dunia, seorang atlet bina badan memerlukan sekurang-kurangnya RM12,000 sebagai persiapan.

Demikian pengakuan jaguh bina badan Sarawak yang sedang mencipta nama, Awang Mohd Azizul Ghani, 35.

Beliau merupakan juara kategori welterweight Malaysia pada 2015 di Labuan, naib juara Mr. Universe Dunia 2016 di Pattaya, Thailand dan tempat ketiga Mr. Asia 2017 di Seoul, Korea Selatan.

Menurutnya, kos untuk menyertai sesuatu pertandingan agak tinggi, terutama kejohanan bertaraf antarabangsa.

“Ramai yang tidak tahu seluar dalam untuk pertandingan atlet bina berharga antara RM150 hingga RM400.

“Oleh itu, bagi kami, penajaan sangat penting untuk melancarkan urusan kami dalam sukan ini,” katanya.

“Kalau kita menyertai kejohanan peringkat kebangsaan dalam negara kosnya mencecah RM8,000 berbanding jika kejohanan bertaraf antarabangsa (RM12,000),” ujar Azizul.

Menurutnya, ia membabitkan kos pemakanan dan latihan.

“Saya akan makan 10 kali sehari, makanan yang berkualiti tinggi,” katanya.

“Saya mula menyertai sukan ini pada 2011… bayangkan wang yang telah saya belanjakan hingga kini.

Kalau saya kumpulkan wang tersebut, boleh membeli sebuah rumah secara tunai,” ujarnya.

Azizul menjelaskan, bahawa untuk maju dalam sukan ini memerlukan disiplin yang tinggi, terutama dalam aspek pemakanan dan latihan.

“Saya sentiasa menjaga pemakanan iaitu makanan berkhasiat yang tidak ada rasa (tawar).

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya terpaksa berlatih di rumah dengan peralatan yang dibeli sendiri,” katanya.

Azizul mula melibatkan diri dalam sukan ‘badang’ ini sejak 2011 sebagai Mr Kuching.

Beliau mempertahan gelaran Mr Kuching empat tahun berturut-turut.

Kemudiannya beliau mencipta nama di persada Malaysia dan ke peringkat global.