
KUCHING: Seramai 235 orang pelumba akan beradu nasib pada Perlumbaan Bot Kawalan Jauh Bahagian Kuching yang akan berlangsung di Tasik Masja, Petra Jaya pada Sabtu dan Ahad nanti.
Pengarah Perlumbaan RC Powerboat ASIA, Abang Nawawi Bolhassan Abang Dawi berkata himpunan pelumba terbabit dari Kuching, Samarahan, Sibu, Kapit dan Kanowit.
“Para pelumba mewakili pelbagai kelab dari semua bahagian terlibat,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Menjelas lanjut, beliau berkata perlumbaan sepanjang dua hari itu dilangsungkan mengikut kategori masing-masing.
Katanya perlumbaan hari pertama untuk peringkat saringan bagi Kelas A, E, H dijadual berlangsung sebelah pagi manakala aksi final bagi setiap kategori akan berlangsung pada sebelah petang.
Dalam pada itu, Abang Nawawi berkata hari kedua perlumbaan turut membabitkan Kelas D, F, G dengan jadual yang sama dilangsungkan.
Menurutnya, semua kategori dipertandingkan berlainan mengikut pelbagai jenis bot seperti mana telah ditetapkan pihak penganjur.
“Pecahan kategori ialah Catamaran/Tunnel Hull Open CC Gasoline Local Modified Engine (ABC) serta Mono/Deep Vee Hull Open CC Gasoline Local Engine,” katanya.
Pertandingan kali ini menawarkan hadiah menarik berupa wang tunai dan piala untuk pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan.
Penganjuran perlumbaan tersebut sebagai memperingati Presiden Persatuan Persatuan Bot Kawalan Jauh Kuching (KRCPA) Allahyarham Mohammad Daud Jelani.