BINTANGOR: Lebih 1,000 penduduk membanjiri tebingan sungai Bintangor untuk menyaksikan perlumbaan bot laju sempena Pesta Bintangor 2022, hari ini.
Kehadiran pengunjung seawal jam 7.30 pagi itu bukan sahaja datang dari Bintangor, tetapi juga daerah berhampiran termasuk Sarikei dan Sibu.

Koordinator Program Robin Roy berkata, sebanyak lapan kategori dipertandingkan sepanjang acara berkenaan.
Antaranya bot pam 7.5 kuasa kuda, bot laju lima kuasa kuda, bot tunnel, bot piston tunnel 30 kuasa kuda, kelas pro 50 kuasa kuda, SST 60 dan 45 SS.

“Tahun ini, kita menerima penyertaan amat menggalakkan khususnya dari luar Bintangor. Secara keseluruhan, sebanyak 191 bot dari 109 pasukan mengambil bahagian dari Lundu hingga ke Limbang.
“Malah, ini merupakan penyertaan pertama pasukan Sri Aman dan pada edisi kali ini, kita menerima paling banyak penyertaan dari Dalat,” katanya ditemui Suara Sarawak.