KUCHING: Perlumbaan Motorcross KBS, MyFit@Motorsports Peringkat Zon 2022, Sarawak yang berlangsung dengan jayanya di Litar Motorcross Sarikin, Bau pada Sabtu dan Ahad lalu memperlihatkan seramai 50 pelumba berentap pada perlumbaan itu.
Saingan selama dua hari itu juga berjaya memperlihat penguasaan hebat pelumba handalan bagi setiap kategori yang dipertandingkan.
Bagi kategori Cubcross/Minicross, juara disandang oleh Wilfred Lanser Jotim manakala tempat kedua dan ketiga menjadi milik Jackulenious Baldneth dan Andrish Houxy.

Dalam pada itu, kategori CKD Scrambler Below 150cc diungguli Andrish Houxy serta tempat kedua dan ketiga milik Franky Juhes dan Gray Michael.
Dalam masa yang sama, kelibat dipamer Andrish Houxy terus mencuri tumpuan apabila turut mengungguli kategori MX Novice.
Tempat kedua dan ketiga kategori tersebut milik Baynisian Gary dan Charles Jefferson Anak Alois.
Kategori MX 2T 150cc pula diungguli Lim Kok Ping, mengatasi dua pencabarnya iaitu Greg Clement ditempat kedua dan Claudie Elmolzer Anak Cosmas ditempat ketiga.
Hadiah kepada semua pemenang disampaikan Pengarah Jabatan Belia Sukan Negeri Sarawak (JBSNS), Lamat Anak Nyalau.
Pertandingan ini telah dianjurkan oleh JBSNS dengan kerjasama Persatuan Sukan Bermotor Sarawak (SMA), Rakan Teknikal SMA dan Kelab Motocross Region 1 Kuching.