Permainan ‘beyblade’ lebih baik dari bermain gajet pintar

SPAOH: Permainan ‘beyblade’ kini semakin menjadi trend yang digemari kanak-kanak disifatkan lebih bagus berbanding mereka bermain gajet pintar yang lain.

Penyelia Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK) Paya Udak Nurmardiana Tia berpandangan, dari sudut psikologi dan kos ia mampu memenangi kehendak kanak-kanak.

“Beyblade bagi saya suatu alat permainan yang mendatangkan banyak kesan positif.

“Saya tidak hairan kalau ia menjadi trend masa kini kerana secara psikologi, permainan tersebut mampu melatih kemahiran sosial seseorang kanak-kanak.

“Misalnya, melatih semangat bersaing dan bekerjasama sesama rakan sekaligus mendidik jiwa mereka supaya tidak berputus asa kerana peraturannya sekali mereka kalah, maka terus kalah atau diistilahkan sebagai kalah mati,” katanya.

SATU PASUKAN … Nurmardiana Tia (kanan) bergambar kenangan bersama wakil PAKK Paya Udak Betong ke pertandingan beyblade bersempena Futsal Terbuka Spaoh dekat sini, semalam yang akhirnya bergelar juara.

Beliau ditemui Suara Sarawak selepas salah satu kumpulan PAKK Paya Udak menjuarai pertandingan beyblade bersempena Futsal Terbuka Spaoh dekat sini, semalam.

Nur Aniq Naufal Zulkarnain, Afiq Haikal Abu Bakar dan Mohd. Arif Nazran Hossien dipilih sebagai juara sekaligus membawa pulang RM150.

Menurut Nurmardiana lagi, permainan tersebut juga dapat membiasakan kanak-kanak supaya sentiasa mematuhi peraturan dan giliran.

“Apabila ada peraturan, secara tidak langsung kanak-kanak akan mematuhinya kerana sasaran mereka untuk bergelar pemenang.

“Kalau dari segi kos pula, bagi saya lebih murah daripada gajet pintar yang lain di pasaran.

“Tetapi bergantung juga kepada model dan jenis, namun sudah boleh didapati dengan harga antara RM10 ke RM30… maka, tidak membebankan.

“Lebih kurang sama harga dengan ‘brick game’ pada zaman 90-an dahulu,” ujarnya.

Beliau merakamkan penghargaan tahniah kepada tiga kumpulan (sembilan orang) wakil PAKK Paya Udak walaupun cuma satu kumpulan yang berjaya.

 

AKSI JUARA … Suasana meriah sekitar pertandingan beyblade dan kelihatan wakil PAKK Paya Udak menunjukkan aksi masing-masing.

 

AKSI JUARA … Suasana meriah sekitar pertandingan beyblade dan kelihatan wakil PAKK Paya Udak menunjukkan aksi masing-masing.

Suara Sarawak