Permit import hidupan liar eksotik tidak akan dikeluarkan sehingga diberitahu

KUCHING: Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) tidak akan mengeluarkan permit untuk mengimport hidupan liar eksotik hidup mulai hari ini sehingga diberitahu kelak.

Keputusan itu dibuat berikutan kegusaran yang disuarakan oleh NGO dan epidemologi Sarawak mengenai spesis hidupan liar hidup dalam perdagangan antarabangsa yang dilihat sebagai potensi punca Covid-19.

Kontroller Hidupan Liar, Zolkipli Mohamad Aton mendedahkan, kebanyakan spesies asli juga terancam daripada spesies eksotik yang diimport sebagai haiwan peliharaan liar secara haram.

“Sekiranya diimport secara haram, haiwan peliharaan eksotik tidak melalui veterinar atau pemeriksaan kesihatan awam dan mungkin membawa virus yang tidak diketahui mahupun patogen yang boleh merebak di kedai haiwan peliharaan atau rumah rakyat Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan apabila haiwan eksotik ini dilepaskan di hutan dan perairan Sarawak, spesis ini boleh mengancam sumber makanan spesies tempatan.

“Beberapa spesies eksotik juga lebih agresif berbanding spesies tempatan yang lain sehingga mereka bersaing antara satu sama lain menyebabkan penurunan mendadak spesies asli tersebut.

“Contoh seperti penurunan mendadak burung pipit disebabkan oleh burung ciak Urasia, burung tiong mengantikan burung asli yang lain dan percambahan katak American bullfrog di laman kita mengantikan katak kampung (Fejervarya limnocharis),” katanya.

Justeru itu, SFC akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi kawalan sempadan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk menghnetikan penyeludupan spesies eksotik ke negeri ini.

Kata Zolkipli, rampasan akan dilakukan di kawasan kawalan sempadan seperti lapangan terbang, pelabuhan, pusat pemeriksaan kastam dan kedai haiwan peliharaan yang tidak mempunyai lesen sah ataupun permit.

Tambahnya, dalam tempoh enam bulan akan datang, SFC akan menanda hidupan liar eksotik yang sah dan berlesen di negeri ini dan melabur dalam pemeriksaan kesihatan veterinar pada haiwan ini.