KUCHING: Lembaga Alam Sekitar Sumber Asli (NREB) telah menghentikan pengeluaran permit pembakaran terbuka sejak April tahun ini.
Timbalan Premier merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini sebagai usaha mengurangkan masalah jerebu di negeri ini.
Beliau berkata, mereka yang disabitkan dengan pembakaran terbuka tanpa permit yang sah boleh didakwa di bawah Seksyen 30(1)(a) dan Seksyen 30(2) Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar 1993.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Kualiti udara dan keadaan jerebu menimbulkan kebimbangan kepada orang ramai terutamanya semasa fasa peralihan Monsun Barat Daya yang bermula pada Mei dan dijangka berterusan sehingga September,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan menteri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.
Awang Tengah menjelaskan, berdasarkan data yang diperoleh dari Jabatan Metrologi Malaysia, kebanyakan kawasan termasuk Sarawak akan mengalami cuaca kering dengan kurang hujan dalam tempoh itu.
“Sebahagian kawasan di Kuching, Samarahan, Sri Aman, dan Betong dijangka menerima purata hujan bulanan antara 150 dan 200 milimeter manakala bahagian lain antara 180 dan 400 milimeter,” katanya.
Awang Tengah turut berkata, NREB dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) memantau kualiti udara dan jerebu serta melaksanakan penguatkuasaan berterusan.
“Berdasarkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan dari Januari hingga April tahun ini, kualiti udara di Sarawak dalam kategori baik hingga sederhana dengan bacaan di bawah 100.
“Dalam tempoh yang sama, Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) yang berpangkalan di Singapura melaporkan sejumlah 25 titik panas di Sarawak,” tambahnya.