Permit rentas daerah, Sekatan Jalan Raya (SJR) ditarik balik

KUCHING: Polis Sarawak mengesahkan permit rentas daerah dan Sekatan Jalan Raya (SJR) ditarik balik, berkuatkuasa, hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, aktiviti rentas daerah kini tidak lagi memerlukan permit susulan pengumuman dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk membenarkan aktiviti berkenaan dilakukan bermula 10 Jun 2020.

Dedahnya, tindakan SJR bagaimanapun akan diperketatkan di laluan sempadan bagi memastikan tiada aktiviti kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negeri ini.

“SJR di antara daerah akan ditarik balik manakala SJR di laluan sempadan antara negara jiran akan diperkasakan bagi membendung aktiviti kemasukan PATI,” jelasnya ketika dihubungi Suara Sarawak hari ini.

Aidil turut menegaskan bahawa pasukan khas pemantau bagaimanapun akan tetap dilaksanakan di seluruh negeri bagi memastikan aktiviti masih tidak dibenarkan mematuhi Standard Operasi Prosedur (SOP) dikeluarkan JPBNS.

Terdahulu, JPBNS dalam satu kenyataan rasmi menunjukkan sebanyak 3,619 jumlah permohonan pergerakan antara daerah telah diterima oleh 28 buah Ibu Pejabat Daerah Polis Diraja Malaysia seluruh Sarawak, hari ini.

Tambah kenyataan itu, pasukan petugas pematuhan turut memantau sebanyak 1,899 lokasi iaitu pasar raya (318), restoren(395), kilang(24), bank (193), pejabat kerajaan (63), penjaja (24), pasar tani (165), tempat ibadah (101), tempat riadah (183), tapak pembinaan (15) dan lain-lain (760).