KUCHING: Persatuan Penduduk yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kini boleh memohon Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK).
Pengarah ROS Sarawak Dato Georgina Apphia Ngau berkata permohonan boleh dibuat melalui sistem eROSES di www.eroses.gov.my mulai 15 Jun 2023 hingga 30 September 2023.
“Permohonan perlu dikemukakan atas nama pertubuhan melalui Setiausaha Pertubuhan dan bukan secara individu,” katanya.
Menjelas lanjut, beliau berkata permohonan yang layak menerima GPPK adalah pertubuhan yang berdaftar dengan ROS di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan pertubuhan bagi kategori sosial subkategori Persatuan Penduduk.
Georgina menambah keutamaan diberikan kepada pertubuhan yang berdaftar sebelum 31 Disember 2022, pertubuhan yang berstatus aktif, pertubuhan yang menghantar penyata tahunan yang lengkap dan teratur serta pertubuhan yang mempunyai rekod pengurusan pertubuhan yang baik.
Selain itu, katanya keutamaan turut diberikan kepada pertubuhan yang belum pernah menerima apa-apa peruntukan/ geran daripada ROS dan/ atau mana-mana agensi kerajaan serta organisasi lain.
“Jumlah peruntukan GPPK adalah sebanyak RM10,000 sahaja bagi setiap pertubuhan dengan tempoh perbelanjaan dan pelaksanaan program hendaklah dijalankan selewat-lewatnya pada 31 Disember 2023,” katanya.
Georgina berkata skop program/komponen yang boleh dimohon di bawah bawah GPPK adalah meliputi pembelian peralatan keselamatan (maksimum RM5,000 sahaja) dan pelaksanaan program keselamatan (melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM5,000 sahaja atau sehingga RM10,000).
Kerajaan melalui Bajet 2023 pada 24 Februari lalu telah meluluskan peruntukan bagi GPPK berjumlah RM20 juta melalui pemberian geran sehingga RM10,000 kepada 2,000 Persatuan Penduduk yang berdaftar di bawah ROS untuk melaksanakan pelbagai aktiviti kesukarelawanan untuk keselamatan komuniti setempat.
Objektif utama GPPK adalah meningkatkan tahap keselamatan dalam komuniti, meningkatkan penglibatan pertubuhan dalam hal ehwal keselamatan komuniti setempat,
memperkasakan peranan pertubuhan dalam mendepani bencana dan membudayakan keselamatan tanggungjawab bersama.