Permohonan kemasukan ke IPTA, ILKA dibuka semula mulai esok

KUCHING: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju membuka semula permohonan kemasukan pelajar lepasan SPM ke program Sijil, Asasi, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) mulai esok, 15 Jun sehingga 21 Jun ini.

Kata KPT, keputusan ini dibuat untuk memberi peluang kepada pelajar yang tidak berkesempatan untuk berbuat demikian dalam tempoh yang ditetapkan sebelum ini.

“Sehubungan itu, pemohon boleh melayari portal rasmi upu.mohe.gov.my sama ada untuk membuat permohonan kemasukan atau membuat pilihan program pengajian untuk melanjutkan pengajian ke IPTA dan ILKA,” jelas kementerian itu dalam satu kenyataan.

Bagi pelajar yang belum pernah memohon, mereka dikehendaki mengemukakan permohonan dan memilih program pengajian bermula jam 12 tengah hari hingga jam 5 petang.

Pelajar yang telah membuat permohonan, mereka boleh mengemaskini pilihan program pengajian seperti pada tempoh yang ditetapkan.

Suara Sarawak