Permulaan tahun baharu yang sibuk buat anggota bomba Bintangor, mencari orang hilang dan lemas

BINTANGOR: Kebanyakan orang menikmati hari cuti bersama-sama keluarga sebagai permulaan tahun baharu.
Namun, permulaan tahun baharu bagi anggota bomba di Bintangor agak sibuk apabila perlu mencari orang hilang dan lemas dalam dua kejadian berasingan.
Dalam kejadian pertama, seorang lelaki dilaporkan hilang di kebun di Sungai Sian di Bintangor pada jam 5 petang hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada IPD Bintangor mengenai kes orang hilang di kebun dan mengarahkan keluaran BBP Bintangor dengan kekuatan tiga anggota diketuai oleh PBK II KUP Nicholas bergerak ke lokasi.
“Mangsa dikenali sebagai Pat Sai Kong dilaporkan hilang pada Khamis (31.12.2020) dan baru dilaporkan ke Balai Polis pada hari ini,” katanya menerusi satu kenyataan.
Sehingga berita ditulis,pasukan bomba masih lagi dalam perjalanan ke lokasi.
Dalam kes berasingan, BBP Bintangor turut menerima panggilan insiden orang lemas di Sungai Sugai, Pakan, Bintangor pada jam 7.04 malam ini.
Menurutnya, tiga anggota diketuai oleh Nicholas Belulin bergerak ke lokasi untuk mendapatkan maklumat.