PENAMPANG: Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan terus komited melaksanakan inisiatif digariskan bagi memacu kemajuan dan kejayaan usahawan francais negara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata usaha itu adalah bertepatan dengan ikhtiar Bitara MADANI bagi memberi fokus kepada pembangunan keusahawanan yang memerlukan jangka masa panjang dalam merealisasikan kejayaan.
Ewon berkata komitmen agensi itu juga dapat dilihat menerusi peruntukan RM50 juta khusus untuk Skim Pembiayaan Francais dan Pra Francais pada tahun ini bagi pembangunan perniagaan francais selaras dengan nilai Kesejahteraan MADANI untuk usahawan.
“Peranan Pernas dalam pembangunan usahawan francais turut mendokong misi kementerian untuk menyediakan platform, khidmat sokongan, bantuan serta pembangunan kapasiti keusahawanan.
“Pernas bukan sahaja melahirkan ramai usahawan francais, malah turut membangunkan jenama-jenama francais tempatan di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penjenamaan semula jenama francais Mok Corner di sini, semalam.
Ewon berkata Pernas turut menyediakan ekosistem keusahawanan kondusif dengan menawarkan produk serta perkhidmatan bersesuaian kepada para usahawan tempatan merangkumi keperluan kepada francaisor, francaisi dan pra-francaisor yang antara lain melibatkan skim pembiayaan dan pengurusan hartanah.
Sejak 2004, sebanyak RM428 juta telah disalurkan kepada 2,162 usahawan untuk pembangunan industri francais negara.
Di Sabah pula, agensi itu telah meluluskan pembiayaan kepada 66 syarikat dengan jumlah RM14.67 juta sejak 2009 sebagai usaha membantu usahawan francais tempatan di negeri itu berkembang lebih jauh.
Selain Mok Corner yang kini mempunyai 39 cawangan di seluruh negeri, jenama tempatan yang turut merancakkan industri francais di Sabah termasuk Kak Nong, Al-Hadanah, Sinar Suria, Nuvis, Fook Yuen dan Daily Electronic Centre.
Sementara itu, Pengerusi Pernas Datuk Hazimah Zainuddin dalam ucapannya berkata, pihaknya sentiasa komited membantu seterusnya menyokong mana-mana syarikat atau usahawan untuk melangkah ke hadapan bagi membangun jenama serta perniagaan masing-masing. – BERNAMA