ARTIKEL

Pernas perkasa usahawan Perak menerusi program BizFrancais Perak 2023

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

IPOH: Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dengan kerjasama Seketariat Usahawan Negeri Perak memperhebat usaha bagi memperkasa usahawan di negeri ini menerusi penganjuran Program BizFrancais Perak 2023 dengan sasaran potensi pembiayaan sebanyak RM3.68 juta.

Program yang diadakan di sini semalam melibatkan 31 pempamer syarikat francais di Perak sebagai lokasi pertama bagi siri jelajah Program BizFrancais tahun ini dan lokasi seterusnya adalah Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Johor dan Pahang.

Pengerusi Pernas Datuk Hazimah Zainuddin berkata Program BizFrancais bertujuan memperkenalkan perniagaan francais dan pra-francais serta memudahkan pengunjung untuk mendapatkan maklumat yang ditawarkan oleh Pernas.

 “Pernas telah meluluskan sebanyak RM14.94 juta pembiayaan susulan penganjuran program BizFrancais sejak 2019 sehingga 2022.

“Bermula  2004 sehingga kini, Pernas telah membiayai sebanyak RM17.6 juta kepada usahawan di Perak,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Bizfrancais@Perak 2023 oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Koperasi dan Pembangunan Usahawan Negeri Perak Salbiah Mohamed.

Sejak diperkenalkan pada 2019, Pernas selaku agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menganjurkan 16 siri program BizFrancais di seluruh negara termasuk di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kelantan, Johor, Melaka, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Pada majlis sama, majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Pernas dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) turut diadakan untuk memberikan pendedahan kepada penuntut universiti dan graduan berhubung ekosistem francais.

Mengulas selanjutnya, Hazimah berkata Pernas akan menyediakan latihan modal insan dan konsultasi peniagaan, latihan keusahawanan, pembangunan perniagaan serta francais dan latihan industri kepada penuntut dan graduan universiti berkenaan.

“MoU semalam juga menjadi titik permulaan kepada Pernas untuk mengadakan kerjasama dengan universiti lain pada masa hadapan,” katanya.

Pada majlis sama, Pernas turut menyampaikan cek replika pembiayaan, sijil penghargaan kepada peserta projek Excelerator dan program pembangunan francais serta penyerahan surat tawaran program Business In Transformation (BIT) Pernas.

Selain itu, Pernas turut menyerahkan sumbangan barangan keperluan kepada golongan asnaf bersempena dengan program tanggungjawab sosial korporat Pernas Prihatin yang memanfaatkan 200 penerima asnaf di sekitar Perak dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU