ARTIKEL

PERNAS sasar RM26.67 juta pembiayaan menerusi BizFrancais

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BUTTERWORTH: Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan 156 permohonan dengan potensi pembiayaan bernilai RM26.67 juta tahun ini menerusi siri jelajah Program BizFrancais di enam negeri iaitu Perak, Pahang, Johor, Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang.

Pengerusinya Datuk Hazimah Zainuddin berkata ia selaras tanggungjawab PERNAS selaku peneraju pembangunan industri francais negara dalam melahirkan lebih ramai usahawan francais, selain membantu membangunkan jenama-jenama francais tempatan untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

Tahun lepas, pihaknya telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM9.6 juta menerusi program sama yang diadakan di Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Terengganu dan Sarawak.

“Sejak Program BizFrancais diperkenalkan, PERNAS telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM14.94 juta, setakat ini pihak kami telah menyalurkan sejumlah RM428 juta pembiayaan francais kepada 2,187 usahawan francais.  

“Bagi tahun 2023, sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk pembiayaan francais dan pra-francais,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program BizFrancais Pulau Pinang 2023 di Pusat Konvensyen PICCA Arena Butterworth, di sini, semalam.

Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar Pulau Pinang, Rashidi Zinol merasmikan majlis tersebut.

Pada majlis itu turut diadakan penyampaian cek pembiayaan kepada lima penerima dengan jumlah keseluruhan RM2.12 juta.

Hazimah berkata di Pulau Pinang, sebanyak RM6 juta potensi pembiayaan disasarkan tahun ini manakala secara keseluruhannya, setakat ini sebanyak RM13.9 juta telah disalurkan kepada usahawan di negeri itu melibatkan 96 jenama francais dan pra-francais negeri sejak diperkenalkan pada 2019.

“Usaha PERNAS membangunkan industri francais adalah melalui penyediaan ekosistem keusahawanan yang kondusif dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan yang merangkumi pembiayaan, pembangunan, bimbingan, latihan dan pelaburan ekuiti.

“Justeru, banyak peluang dapat dimanfaatkan oleh para peserta serta pengunjung, tambahan pula terdapat pelbagai bantuan yang disediakan oleh kerajaan dan PERNAS kepada mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan francais,” katanya.

Hazimah berkata PERNAS  kini sedang memperhebatkan usaha melahirkan lebih ramai usahawan francais melalui Projek Be Your Own Boss (BYOB) yang menawarkan program-program keusahawanan menyeluruh dengan sasaran utama diberikan kepada golongan wanita dan belia menerusi program “Successful Women Entrepreneurship Engagement Talents atau nama singkatannya “SWEET” dan program “Young Entrepreneurship Engagement Talents (YOUNITY).

Selain itu, beberapa program keusahawanan francais baharu akan diperkenalkan tahun depan untuk golongan pesara dan veteran serta perusahaan sosial, katanya.

Bagi mendukung inisiatif Pelan Strategik KUSKOP 2023, beliau berkata penganjuran BizFrancais menyediakan peluang kepada usahawan sedia ada dan yang berpotensi untuk mengetahui informasi terkini mengenai perniagaan dan industri francais, maklumat mengenai perkhidmatan yang ditawarkan oleh PERNAS seperti pembangunan dan bimbingan perniagaan francais, pembiayaan, jaringan pasaran dan adaptasi teknologi.

Untuk melebarkan sayap jenama-jenama francais ke antarabangsa, PERNAS turut giat menjalin hubungan kerjasama dengan negara-negara luar bagi membuka peluang kepada jenama tempatan ke pasaran luar. – BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

Orchidmas sasar eksport orkid

KUCHING: Orchidmas International LLC, anak Syarikat Orchidmas Sdn Bhd yang berpangkalan di Putrajaya menyasarkan untuk mengeksport orkid Malaysia ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE),

TNB guna kenderaan elektrik

KUALA LUMPUR: Syarikat tenaga terkemuka Malaysia, Tenaga Nasional Bhd (TNB) komited kepada peralihan tenaga yang pantas dan bertanggungjawab, akan menggantikan 30 peratus daripada kenderaan operasinya

BERITA TERBARU