Perniagaan dalam talian budaya kerja baharu

KUCHING: Kerajaan melihat Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) berkembang dengan baik sejak ia ditubuhkan dan kini dibawah Kementerian Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan.

Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Naroden Majais berkata, program yang diperkenal dan dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak ini membuahkan hasil dengan kerjasama dua agensi ini dan disokong oleh beberapa agensi Kerajaan Sarawak dan Persekutuan.

“Ini selaras dengan visi dan misi Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg apabila beliau menubuhkan SMA dan MINTEC tiga tahun yang lalu.

“Ketua Menteri melihat ini sebagai trend masa hadapan dan jika ia diadaptasi dengan baik, ia menjadi sebahagian dari budaya kerja baharu di masa hadapan,” katanya.

Naroden menambah, sejak dua bulan yang lalu, apabila seluruh dunia termasuk Malaysia dan Sarawak menghadapi pandemik Covid-19, semua orang berbicara mengenai perniagaan dalam talian, mencari dan menghantar makanan diikuti bulan Ramadan dan Gawai.

Jelas beliau, platform dalam talian merupakan cara yang terbaik terutamanya dalam situasi dimana penjarakan sosial dan kontak rapat dikuatkuasakan.

Naroden berkata, sepanjang dua bulan yang lalu, kita menyaksikan kemunculan platform baharu dalam talian seperti BROSS menggunakan pembayaran sistem Sarawak Pay dan kemunculan syarikat penghantar seperti Grabfood, Food Panda dan Helpy.

“Dalam masa terdekat, mungkin pertengahan Jun selepas Gawai, kementerian saya dan SMA akan mengadakan program baharu seperti membuat pendaftaran mudah dengan satu alamat yang sama, pasaran kita, platform jual dan beli seperti Lazada dan Lelong.

“Kami sudah muktamadkan dan ia akan dilancarkan selepas pertengahan Jun,” ujarnya.

Dalam pada itu, Naroden turut memberitahu, ramai bertanya kepada dirinya mengapa perlu dalam talian, internet dan sebagainya.

Bagi dirinya dan semua orang tahu jawapan yang tepat dan soalan yang tepat untuk diajukan adalah mengapa anda tidak memiliki satu?.

“Dengan kata lain kita dapat berkata bahawa, dengan adanya internet dan teknologi di tangan kita, ia akan memberikan peluang yang sama kepada setiap pengguna.

“Maksudnya, tidak kira di mana anda berada, sama ada di bandar atau di luar bandar, dan tidak kira berapa pelaburan anda, sama ada dalam berjuta-juta atau hanya dalam ratusan ringgit, internet dan teknologi akan memberi peluang yang sama,” jelas Naroden.

Beliau yang Adun Gedong berkata, semestinya semua memerlukan perkhidmatan dan teknologi internet atau gajet.

Jelas Naroden, Ketua Menteri telah berjanji sebanyak RM1 bilion untuk membina menara telekomunikasi di seluruh negeri terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.

“Mungkin memerlukan beberapa waktu untuk menyelesaikannya, tetapi yang lebih penting ialah Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan tersebut dua tahun yang lalu pada tahun 2018.

“Dan ini jelas menunjukkan betapa seriusnya Ketua Menteri kita, memimpin Sarawak dan rakyatnya ke arah yang betul dan untuk peningkatan dalam setiap aspek kehidupan kita,” kata Naroden lagi.

Beliau memberitahu kementeriannya telah merancang banyak program promosi dan kesedaran pada tahun ini tetapi terpaksa ditangguhkan kerana Pandemik Covid-19.

Oleh itu, kementeriannya akan memulakan beberapa yang program melalui dalam talian dan persidangan video selepas Gawai.