Perniagaan, industri tempatan perlu guna digitalisasi dalam era Normal Baru

KUALA LUMPUR: Perniagaan dan industri tempatan perlu menjadikan digitalisasi sebagai medium untuk membina jenama Malaysia di peringkat global dalam era normal baharu kini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong berkata penting untuk peniaga dan rakyat Malaysia terus mencari keseimbangan yang ideal dalam melindungi nyawa dan punca pendapatan semasa negara melawan wabak COVID-19.

Beliau berkata antara pendekatan alternatif dalam transformasi digital adalah dengan melibatkan industri tempatan dalam aktiviti e-dagang.

“e-dagang memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan memasarkan dan mempromosikan produk mereka di pasaran yang lebih luas, semudah munggunakan telefon pintar.

“Kerajaan telah memberikan insentif dan bantuan dalam mendorong penggunaan e-dagang dalam kalangan pengusaha PKS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut statistik yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, sektor e-dagang telah menyumbang sebanyak RM115.5 bilion pada 2018, yang merangkumi sekitar lapan peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar.

Lim berkata pihaknya sedar pastinya ada kesukaran bagi sesetengah komuniti perniagaan terutama PKS untuk menyesuaikan diri dengan normal baharu ini.

“Namun, syarikat di Malaysia harus melihat perubahan-perubahan ini secara positif dan mengambil peluang daripada situasi tersebut untuk mempercepat transformasi digital yang boleh menyumbang kepada peningkatan jumlah jualan,” katanya.

Beliau berkata walaupun terdapat sebilangan perniagaan telah memulakan transformasi digital, masih banyak lagi yang belum menganjakkan langkah mereka ke arah e-dagang.

Bagi menggalakkan peralihan perniagaan tempatan kepada e-dagang, antara insentif yang disediakan kerajaan adalah melalui Program eTRADE oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), katanya.

Program eTRADE menawarkan RM5,000 kepada pemohon yang berkelayakan dalam bentuk e-baucar atau bayaran balik ke atas perbelanjaan, atau kedua-duanya.

Syarikat di bawah program eTRADE berpeluang untuk menyertai pelbagai platform e-dagang antarabangsa dari beberapa negara di seluruh dunia termasuk negara ASEAN, China, India dan Amerika Syarikat.

Lim berkongsi kisah kejayaan sebuah PKS tempatan iaitu Megix Industries Sdn Bhd, yang menjalankan pengkhususan dalam pengeluaran gulungan kertas termal dan pelbagai jenis bentuk seperti slip gaji, invois, pesanan penghantaran dan tiket.

Beliau berkata pada 2017, Megix memanfaatkan insentif yang diberikan oleh kerajaan dengan menyenaraikan produk mereka di platform e-dagang antarabangsa.

Selepas menyertai Program eTRADE, Megix mula menggunakan platform e-dagang pada 2017 dan nilai jualan eksportnya meningkat daripada RM100,000 kepada RM9.4 juta pada 2019 selain berjaya mengeksport ke 20 negara antaranya Amerika Syarikat, Arab Saudi, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu, Ghana dan Nigeria, katanya.