KUCHING: Penganjuran Rumah Terbuka Gawai di Pusat Konvensyen Kuching (BCCK) pada 1 Jun depan oleh Jawatankuasa Induk Perayaan Gawai Dayak 2023 menandakan permulaan pelbagai acara yang dirancang untuk memeriahkan sambutan Gawai Dayak tahun ini.
Timbalan Premier merangkap pengerusi jawatankuasa itu Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sambutan bertemakan Segulai Sejalai bakal dimeriahkan dengan beberapa program termasuk Majlis Makan Malam Perayaan Gawai Dayak 2023, Niti Daun serta Bazar Gawai.
Perayaan tahun ini katanya, mempunyai makna yang sangat besar kerana bertepatan dengan sambutan perayaan ke-60 kemerdekaan Sarawak dalam Malaysia membolehkan rakyat Sarawak menghormati warisan, budaya dan kebebasan di negeri ini.
‘’Tema tersebut menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Sarawak sebagai tonggak untuk merealisasikan wawasan rantau ini ke arah kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar selaras Pembangunan Pasca-COVID-19 Strategi (PCDS) 2030,’’ katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Gawai Dayak 2023 di BCCK di sini, semalam.
Sehubungan itu, Uggah menjemput orang ramai untuk bersama-sama meraikan perayaan sambutan Gawai Dayak di BCCK pada 1 Jun nanti.
Sementara itu katanya, acara istimewa dijadualkan berlangsung termasuk makan malam sambutan Gawai Dayak pada 7 Jun, Perarakan Gawai (Niti Daun) pada 17 Jun dan Bazar Gawai Dayak 2023 dari 16 hingga 25 Jun.
‘’Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijangka menghadiri majlis makan malam sambutan Gawai Dayak di BCCK bersama-sama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isterinya, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.
‘’Jawatankuasa penganjur menjangkakan penyertaan lebih 80 kontinjen terdiri daripada 2,500 individu.
“Kontinjen ini akan terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan, persatuan kebudayaan Dayak, ketua masyarakat Dayak, dan anggota Veteran Angkatan Tentera Malaysia.
‘’Selain itu, individu Dayak yang berani dikenali sebagai Bujang Berani juga akan mengambil bahagian dalam perarakan bermula dari Bangunan Tun Jugah ke Jambatan Darul Hana Tebingan Kuching, yang meliputi jarak 1.2 km.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka merasmikan majlis tersebut,’’ katanya.
Sementara itu katanya, Bazar Gawai Dayak 2023 selama 10 hari akan diadakan di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan di Jalan Padungan di sini.
‘’Perayaan ini bermula pada jam 5 petang pada hari bekerja dan 11 pagi pada hujung minggu, berlangsung sehingga jam 11 malam setiap hari dengan penganjuran pelbagai acara termasuk persembahan seni budaya Dayak, pancaragam secara langsung, pertandingan Kumang dan Keling dan persembahan artis tempatan, ‘’ katanya.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perayaan Gawai Dayak 2023 Datuk John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala dan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Majang Renggi turut hadir.