Perpaduan lambang kejayaan S’wak

SRI AMAN: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr. Sim Kui Hian menegaskan semangat bersatu padu dalam kalangan penduduk adalah lambang kejayaan sesebuah komuniti terutama di Sarawak.

“Kita bertuah kerana tinggal di negeri berbilang kaum dan mempunyai sikap toleransi tinggi antara kaum, adat, budaya dan agama.

“Kerajaan Sarawak di bawah GPS kini mempunyai misi jelas mengembalikan hak Sarawak seperti termaktub dalam MA63,” katanya berucap pada Majlis Ngiling Tikai Gawai Dayak 2019, di Rumah Mulok, Kujoh, Ulu Skrang.

Presiden Parti SUPP itu berkata, GPS memisahkan diri daripada BN atas faktor masa kerana ia peluang rakyat Sarawak mencorakkan negeri dengan acuan sendiri khasnya memajukan negeri dengan sumber sendiri, tanpa ada konsensus dalam pakatan yang besar.

“Aspirasi rakyat Sarawak kini hanya kita yang dapat menentukan hala tuju Sarawak, bukan orang luar yang suka memutarbelitkan dan menghasut pemikiran penduduk tempatan di sini,” tambahnya.

Sementara itu, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis berkata, majlis itu dapat merapatkan hubungan antara penghuni selain bertukar-tukar pendapat mengenai usaha membangunkan kawasan masing-masing.

“Selain itu, ia dapat mengekalkan kebudayaan masyarakat Iban sebagai tradisi kebudayaan turun-temurun dan dapat diteruskan generasi muda akan datang, ” katanya.

Dalam majlis anjuran SUPP Cawangan Engkilili dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Mulok itu, Sim turut menyampaikan peruntukan RM3,000 kepada JKKK dan RM3,000 juga kepada Biro Wanita Rumah Mulok dan RM1,000 kepada 10 tuai rumai yang hadir pada majlis tersebut.

Turut hadir Pengerusi SUPP Cawangan Lingga Kaunselor Waterkiller James Junit, Daniel Bujal dan Tommy Laman.

Suara Sarawak